Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Persamaan Berdasarkan Keyakinan Bukan Andaian .. ( ms 48-50 )

المماثلة تحقيقاً لا ظناً و تخميناً   ( persamaan berdasarkan keyakinan bukan andaian )

Seperti mana yang dimaklumi, apabila barangan yang berunsur riba dijual beli dengan barangan yang sejenis dengannya, barangan ini mestilah sama dari segi sukatan atau timbangan supaya jual beli ini sah.
 Persamaan ini perlu wujud dengan cara yang meyakinkan ketika memetrai kontrak. Iaitu, barangan ini disukat atau ditimbang terlebih dahulu sebelum kontrak dimetrai atau kadar kedua-dua barangan telah diketahui oleh kedua-dua pihak.
Persamaan ini tidak boleh berdasarkan hanya kepada andaian atau kemungkinan. Contohnya jual beli seguni gandum tanpa sukatan atau timbangan tertentu dengan andaian kedua-dua guni adalah sama. Ataupun jual beli 100 gantang gandum dengan seguni gandum yang diandaikan sama sukatannya. Kedua-dua jual beli ini tidak dibenarkan kerana wujud kemungkinan barangan yang dijual beli tidak sama. Syarat sah jual beli bagi barangan berunsur riba yang sama jenis ialah tiada kemungkinan barangan tersebut berlainan sukatan atau timbangan kerana kemungkinan ini bererti tiada persamaan.

Hukum ini berpandukan hadis Jabir r.a yang berkata :

نَهَى رَسُولُ الله صلى اللهُ عليْه وسلم عَنْ بَيع الصبرة من التمر لا يعلم مكيلتها بالكيل المسمى من التمر
Mafhumnya :- Rasulullah s.a.w melarang menjual seguni tamar yang tidak diketahui sukatannya dengan tamar yang diketahui sukatannya.

Hukum ini juga disokong oleh kata-kata Ibnu Masu’d r.a :” setiap perkara yang bercampur halal dan haram pasti yang haram mengatasinya.”
Maksudnya, apabila dua perkara berlaku pada satu barangan; satu perkara menyebabkan barangan itu dihalalkan dan satu lagi menyebabkan barangan itu diharamkan, faktor yang menyebabkan barangan itu diharamkan akan diambil kira dan barangan itu tidak dibenarkan dijual beli. Ini sebagai langkah berjaga-jaga dan menjauhkan diri daripada perkara yang meragukan.

Di sini ada dua kemungkinan; kemungkinan pertama, perbezaan itu tidak wujud dan ini boleh menyebabkan jual beli menggunakan guni tadi halal dan satu lagi kemungkinan ialah perbezaan itu wujud dan ini menyebabkan jual beli ini tidak halal. Dengan ini larangan ini akan lebih diutamakan.



( المزابنة والمحاقلة )            MUZABANAH DAN MUHAQALAH

Di antara perkara yang tidak dapat lari daripada kemungkinan wujudnya perbezaan dalam jual beli barangan berunsur riba ialah muhaqalah dan muzabanah.
Muhaqalah  ialah jual beli bijiran yang masih di dalam kulitnya dengan barangan yang sama secara andaian iaitu mangandaikan sukatan atau timbangannya sama.
Manakala muzabanah ialah jual beli kurma basah ( rutob ) yang masih berada di atas pokok dengan kurma ( tamar ) yang telah dipetik dengan andaian kedua-duanya sama. Begitu juga dengan anggur dan kismis.
Jual beli muzabanah dan muhaqalah ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana persamaan kedua-dua barangan tidak dapat dipastikan, atau persamaannya tidak dapat diperolehi secara meyakinkan.

Larangan ini telah dinyatakan oleh hadis Rasulullah s.a.w.. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a berkata :

نَهى رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عَليهِ وسلَّم عَنْ المُزابَنَةِ أنْ يَبيعَ ثَمَرَ حاَئِطِهِ إِنْ كان نَخلاً بِتَمَرٍ كَيلاً وَإِنْ كان كَرماٌ أَنْ يَبِيعَهُ بِزَبِيبٍ كَيلاً وَإِنْ كان زَرعاً أَنْ يَبِيعَهُ بِكَيلِ طَعَامٍ وَنَهَى عَنْ ذَلِكَ كُلِّهِ
Rasulullah s.a.w melarang jual beli muzabanah iaitu menjual buah yang ada di kebun; buah yang berada di pokok kurma ( rutob ) dengan kurma ( tamar ) mengikut sukatan, buah yang berada di pokok anggur dengan kismis mengikut sukatan, atau tanaman dijual dengan makanan mengikut sukatan tertentu. Baginda melarang semua perbuatan ini “.

Araya  (   العرايا   )

Menurut bahasa Arab araya adalah kata jamak bagai ariyyah iaitu pokok yang dibiarkan oleh pemiliknya untuk makanan sendiri. Pokok ini dinamakan demikian kerana ia dipisahkan daripada hukum pokok-pokok lain dalam kebun tersebut.
Menurut syarak araya ialah menjual kurma basah ( rutob ) yang masih  di atas pokok secara andaian dengan kurma ( tamar ) , atau pun menjual anggur secara andaian dengan kismis, dan kadarnya adalah kurang daripada lima wasaq iaitu bersamaan dengan lebih kurang 700 kilogram.
Apabila disebutkan larangan tentang menjual buah kurma basah (rutob ) dengan kurma (tamar ), ada di kalangan orang ramai yang mahu makan kurma basah ( rutob ) atau buah anggur yang dipetik daripada pokoknya sedangkan dia tidak mempunyai pokok kurma atau pokok anggur. Oleh itu syarak memberikan keringanan  bagi memenuhi kehendak manusia dan memudahkan mereka.

Kesahihan amalan ini banyak dinyatakan oleh hadis. Salah satu daripadanya ialah hadis riwayat al- Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Abu Hathmah r.a.:

أَنَّ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلم نَهَى عَنْ بَيعِ الثَّمَرِ بالتَّمَرِ وَرَخَّصَ فِي العَرِيَّةِ أَنْ تُبَاعَ بِخَرصِهَا يَأْكُلُهَا أَهْلُهَا رُطَباٌ

Rasulullah s.a.w melarang jual beli buah-buahan dengan kurma ( tamar ) tetapi Baginda member  pengecualian untuk jual beli araya yang dijual secara andaian, supaya pembelinya boleh makan kurma yang basah ( rutob ).

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a :
“ Rasulullah s.a.w memberikan pengecualian untuk jual beli araya setakat lima wasaq atau kurang daripada lima wasaq “.




Diriwayatkan daripada Rafi’ bin Khudaij r.a dan Sahl bin Abu Hathmah r.a :

أَنَّ رَسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلّم نَهَى عَنْ المُزابَنَة بَيعِ الثَّمَر بالتّمر إِلاَّ أَصحابَ العَرَايا فَإِنَّهُ أَذِنَ لَهُم قال أبو عبد اللهِ وقال ابْنُ إسحاقَ

“ Rasulullah s.a.w melarang jual beli muzabanah iaitu jual beli buah-buahan dengan kurma ( tamar ) kecuali bagi pemilik araya kerana Baginda membenarkannya “.

Semua hadis ini jelas memberikan kemudahan untuk menjual buah kurma basah ( rutob ) dan kurma ( tamar ). Hukum ini  boleh diqiaskan dengan anggur dan kismis. Ini kerana kedua-dua buah-buahan ini adalah harta yang dikenakan zakat dan boleh diandai serta boleh disimpan apabila kering.



Jual beli daging dengan daging, daging dengan haiwan hidup dan haiwan dengan haiwan.

Kita telah bincangkan sebelum ini, daging berbeza-beza jenis mengikut asalnya dan daging termasuk dalam senarai barangan berunsur riba. Ia boleh dijual dengan daging lain dengan syarat mestilah ada persamaan kadar, tunai, dan diterima pada ketika kontrak dimetrai, jika daging tersebut adalah sejenis. Jika daging-daging tersebut berlainan jenis, contohnya daging kambing dengan daging lembu, perbezaan kadar dibenarkan walau bagaimanapun, jualan mestilah dilakukan secara tunai dan diterima pada ketika kontrak dimetrai.


pembentang : Nurul Naeim binti Md Adam
                        ( 10BI01011 )

0 comments:

Post a Comment