Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Implikasi Hutang ( ms 66-68 )

Implikasi Hutang
                Apabila sesuatu hutang dibenarkan, implikasinya ialah hak milik barangan tersebut akan berpindah daripada pemiutang kepada penghutang. Ketika itu penghutang perlu memulangkan semua barangan yang seumpama dengannya apabila diminta oleh pemiutang. Adakah peralihan hak milik ini bermula dengan penerimaan barangan yang dihutang atau setelah ia digunakan?
                Menurut pendapat yang paling sahih (asah), penghutang memperolehi hak milik barangan yang dihutang ketika penerimaan. Ini kerana ulama sependapat penghutang boleh menggunakan barangan tersebut sebaik sahaja menerimanya. Ia menunjukkan hak miliknya telah disahkan sebelum penggunaan tersebut. Jika dia tidak memiliki hutang tersebut pada ketika menerimanya, sudah tentu dia tidak berhak menggunakannya.
                Dengan ini, setelah selesai kontrak hutang dan penghutang telah menerima hutang tersebut, menurut satu pendapat, pemiutang tidak berhak menarik balik hutang tersebut kecuali dengan persetujuan penghutang. Walau bagaimanapun dia berhak meminta bayaran semula hutang yang seumpama dengannya kerana bayaran semula ini wajib mengikut kontrak hutang.
                Tetapi menurut pendapat yang paling sahih (asah), dalam kes ini, pemiutang berhak menarik balik hutang tersebut jika barangan tersebut masih kekal seperti sedia kala dan tidak membabitkan hak orang lain. Hukum ini tidak bercanggah dengan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang terhadap barangan yang dipinjam sebaik selepas menerimanya. Ini kerana walaupun demikian pemiutang masih berhak menuntut semula hutang daripada penghutang jika barangan tersebut hilang. Ini bermakna, meminta semula hutang yang masih wujud sudah tentu lebih patut kerana ia lebih mudah. Dengan ini, penghutang wajib memulangkan semula barangan tersebut jika diminta oleh pemiutang.
Walau bagaimanapun, jika barangan tersebut masih wujud tetapi keadaannya telah berubah, contohnya kambing yang telah disembelih atau gandum yang telah dikisar atau pun ia telah membabitkan hak orang lain, contohnya ia telah dijadikan sebagai gadaian oleh penghutang, dalam kes ini pemiutang tidak berhak meminta semula hutang asal tadi.
Namun jika penghutang hanya menyewakan barangan tersebut kepada orang lain, pemiutang masih berhak memintanya semula. Berbeza dengan barangan yang digadaikan, kerana penerima gadaian mempunyai hak terhadap barangan yang digadai. Sebaliknya penyewa tidak mempunyai hak yang sama.
Selain itu, pemiutang juka berhak meminta semula hutang walaupun wujud penambahan yang dilakukan pada barangan sama ada penambahan tersebut bercantum atau berasingan. Ini kerana benda yang bercantum perlu mengikut asalnya. Bagi yang berasingan pula, sudah tentu tidak menghalang barangan asalnya dipulangkan. Walau bagaimanapun penghutang memegang hak milik tambahan yang wujud kerana pertambahan ini berlaku ketika barangan tersebut dalam hak miliknya.
Ulama sependapat, penghutang berhak memulangkan semula hutang (barang yang sama) kepada pemiutang dan pemiutang tidak berhak menuntut ganti lain yang seumpama atau yang sama nilai dengannya.
Menurut pendapat kedua tentang peralihan hak milik ini, penghutang tidak mempunyai hak milik ke atas hutang kecuali setelah barangan tersebut digunakan dengan cara yang menunjukkan berlaku peralihan hak milik. Contohnya barangan tersebut dihadiahkan atau dijual beli atau dirosakkan atau digunakan. Ini kerana, hak milik dapat disahkan melalui tindakan seperti ini. Juga kerana pemiutang masih berhak meminta semula barangan tersebut sebelum itu dan penghutang juga berhak memulangkannya. Jika barangan tersebut dianggap sebagai hak milik penghutang ketika menerimanya, kedua-dua pihak tidak berhak membatalkan hak milik tersebut. Kedua-dua pihak juga tidak berhak memulangkan atau meminta semula barangan tersebut.
Ini bermakna, pemiutang berhak meminta semula hutang selagi ia berada di tangan penghutang (seperti yang dinyatakan di atas) kerana ia masih menjadi miliknya dan masih belum menjadi hak milik penghutang.
Kesan daripada perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas apabila hutang tersebut memerlukan perbelanjaan ataupun ia mengeluarkan hasil. Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang selepas barangan tersebut diterima, penghutang perlu mengeluarkan perbelanjaan dan dia berhak memperolehi sebarang hasil sebaik sahaja menerimanya. Walaupun dia masih belum menggunakannya.
Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik hanya selepas penggunaan pula, perbelanjaan tersebut akan ditanggung oleh pemiutang. Begitu juga, segala hasil yang diperolehi dalam tempoh barangan tersebut diterima dan sebelum digunakan oleh penghutang adalah haknya.
Bayaran Hutang  
                Sepertimana yang kita maklum, barang yang dipinjam mestilah barangan mithli atau barangan qiymi dengan spesifikasi yang dinyatakan. Atas dasar ini :
                Pembayaran hutang perlu menggunakan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tidak, ia wajib dibayar dengan barangan yang sama nilai.
                Jika hutang tersebut ialah barangan qiymi, pembayaran perlu menggunakan barangan yang sama dengannya. Contohnya, penghutang berhutang seekor kambing, dia perlu membayar semula seekor kambing yang sama sifat-sifatnya. Pendapat ini berpandukan hadis Abu Rafi’ r.a. yang dinyatakan sebelum ini. Dalam hadis tersebut, Rasulullah s.a.w mengarahkannya supaya membayar hutang Baginda iaitu unta muda dengan unta muda kepada lelaki pemiutang itu.
                Pendapat lain mengatakan, hutang bagi barangan qiymi perlu di bayar menggunakan barangan yang sama nilai dengannya. Alasannya ialah, barangan mithli perlu dibayar dengan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tiada, ia perlu dibayar dengan barangan yang sama nilai dengannya.
                Bagi pendapat yang mengatakan pembayaran balik mesti dibayar dengan barangan yang sama nilai, mereka mengatakan :
                Pembayaran balik mesti berdasarkan nilai pada masa penerimaan. Pendapat ini berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik pada masa penerimaan. Ini adalah pendapat yang paling sahih (asah).
                Berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik apabila digunakan, pembayaran balik mesti berdasarkan nilai tertinggi sepanjang tempoh penerimaan hingga penggunaan.
                Jika pemiutang dan penghutang tidak sependapat dalam menentukan nilai yang sebenar atau ciri ciri barangan yang sama dengannya, pengakuan yang diterima ialah pengakuan penghutang yang perlu disertakan dengan sumpah. Sebabnya, dia adalah orang yang didakwa dan akan menanggung bayaran balik sama ada dalam bentuk sama nilai atau sama padan.
Bilakah Hutang Dituntut?
                Pemiutang berhak menuntut penghutang membayar semula hutang pada bila-bila masa selepas penghutang menerima barangan tersebut. Ini kerana menurut hukum hutang, penghutang diwajibkan memulangkan semula hutang pada ketika pemiutang menuntutnya semula. Alasannya, kontrak ini tidak boleh membabitkan bayaran tambahan dan dengan itu tidak boleh membabitkan tempoh tertentu.
                Hukum ini digunapakai sama ada dalam kontrak ada ditetapkan tempoh tertentu untuk membuat pembayaran ataupun tidak ditetapkan. Sama ada wujud amalan tertentu (uruf) yang digunapakai ketika itu ataupun tidak.
Syarat Hutang :
                Kadang kala kontrak hutang dikaitkan dengan beberapa syarat. Sesetengah syarat ini menyebakan kontrak tersebut terbatal. Sesetengahnya pula tidak membawa apa-apa implikasi kepada hutang tersebut. Sesetengahnya perlu dilaksanakan. Keterangannya adalah seperti berikut :
                1. Syarat yang Boleh Membatalkan Kontrak Hutang
                Semua syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan memberi keuntungan kepada pemiutang. Contohnya pemiutang memberikan hutang dengan syarat tedapat bayaran tambahan, atau dengan syarat penghutang pulangkan barangan yang baik sebagai ganti kepada barang yang tidak baik, atau dengan syarat penghutang menjualkan kepadanya rumahnya. Ini adalah contoh syarat yang tidak sah dan membatalkan kontrak hutang. Hukum ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w :
                “Semua hutang yang membawa keuntungan adalah riba.”
                Menurut kitab Mughni al-Muhtaj, walaupun hadis ini daif , tetapi al-Baihaqi telah meriwayatkan hadis ini daripada beberapa orang sahabat.
                Menurut kitab al-Muhazzab, diriwayatkan bahaya Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Abbas telah melarang semua jenis hutang yang membabitkan keuntungan.
                Apa yang ditekankan di sini ialah, sesuatu hutang pada dasarnya diberikan kerana didorong oleh rasa belas ehsan dan keinginan untuk membantu penghutang. Namun apabila pemiutang meletakkan syarat yang membawa keuntungan iaitu bayaran tambahan lebih daripada kadar hutang, ini bermakna hutang ini telah terkeluar daripada tujuan asalnya. Oleh itu, hutang seperti ini tidak sah.
                Ada diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda :
                “Tidak halal (bercampur tujuan dalam) kontrak hutang dan jual beli.”
                Sebelum ini telah dibincangkan, kalimah salaf bermaksud hutang menurut bahasa penduduk Hijaz sepertimana dalam hadis di atas.
                Selain itu, sepertimana yang kita maklum, kontrak yang tidak menepati syarat akan menyebabkan jual beli tersebut tidak sah dan dengan ini ia tidak membabitkan sebarang implikasi.
                Keuntungan yang Tidak Disyaratkan
                     Apabila penghutang membayar hutang lebih daripada hutang asal, ataupun penghutang memberikan hadiah sebagai tambahan kepada bayaran hutang tanpa pemiutang tebabit meletakkannya sebagai syarat dalam kontrak dan bukan menjadi amalan yang digunapakai (uruf), apakah hukum tindakan ini? Beberapa perkara perlu dilihat :
i. Jika manfaat tersebut diberikan sebelum hutang dibayar sepenuhnya, adalah lebih baik jika ia ditolak. Kecuali jika amalan bertukar-tukar manfaat tersebut telah menjadi kebiasaaan kedua-dua pihak sebelum kontrak hutang dilakukan.
Pendapat ini berpandukan hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang pernah ditanya :
Seorang lelaki di kalangan kami telah memberikan suatu barangan sebagai hutang kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberikannya hadiah. Anas menjawab : Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Apabila seseorang di kalangan kamu memberikan hutang, lalu orang yang berhutang memberikannya hadiah atau orang itu membawanya menaiki kenderaannya, janganlah dia naik atau menerimanya kecuali jika perbuatan itu telah pun biasa berlaku antara mereka sebelum itu.”
     Hukum makruh ini juga akan dikecualikan jika pemiutang turut memberi hadiah kepada penghutang sebagai membalas (mengimbangi) manfaat yang diberikan oleh penghutang.
ii. Jika manfaat tersebut (bayaran tambahan atau hadiah atau sebagainya) diberikan selepas hutang dibayar, tindakan ini tidak salah dan pemiutang tidak dimakruhkan untuk mengambilnya kerana hutang tersebut telah selesai dibayar. Malah, penghutang digalakkan berbuat demikian kerana mencontohi perbuatan dan juga perintah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh umat Islam membayar hutang mereka dengan cara yang terbaik. Perbuatan ini adalah salah satu perbuatan yang baik.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Jabir r.a berkata :
Suatu ketika saya datang menemui Nabi s.a.w.. Ketika itu Baginda berhutang dengan saya, lalu Baginda membayar hutangnya dan Baginda membayar lebih kepada saya.”
     Telah dinyatakan sebelum ini bagaimana Nabi s.a.w mengarahkan sahabat supaya membayar unta rabaie sebagai ganti kepada unta muda. Baginda bersabda ketika itu :
     “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”
     Walau bagaimanapun, perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat tindakan penghutang memulangkan hutang bersama bayaran tambahan atau memberikan sesuatu manfaat kepada pemiutang sebelum hutang sebenar dijelaskan tidak menjadi amalan (uruf) orang ramai. Selain itu, ia juga tidak menjadi amalan penghutang. Jika perbuatan tersebut menjadi amalan orang ramai atau menjadi amalan penghutang, mengikut pendapat yang kuat (aujah), makruh menerima manfaat ini kerana amalan ini boleh diibaratkan seperti syarat.
     2. Syarat yang Tidak Diterimapakai dan Tidak Membatalkan Kontrak Hutang
     Syarat-syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan tidak membawa sebarang manfaat kepada kedua-dua pihak atau hanya memberi manfaat kepada penghutang. Contohnya, diletakkan syarat supaya penghutang memulangkan barangan yang cacat sebagai ganti kepada barangan yang sempurna, ataupun barangan yang tidak elok untuk barangan yang elok. Atau pun syarat kontrak mewajibkan penghutang meminjamkan pula barangan tersebut kepada orang lain.
     Syarat-syarat seperti ini tidak diterima pakai dan tidak perlu dilaksanakan.
     Pendapat yang paling sahih (asah) mengatakan syarat seperti ini tidak membatalkan kontrak kerana syarat-syarat seperti ini hanya mengukuhkan lagi hasrat asal hutang iaitu melahirkan simpati. Syarat-syarat seperti ini tidak sedikitpun membawa manfaat kepada pemiutang. Sebaliknya semua manfaat tersebut diperolehi oleh penghutang. Seolah-olah tindakan pemiutang lebih bertujuan membantu penghutang.
     Syarat Tempoh Tertentu
                Telah dibincangkan sebelum ini bahawa pemiutang berhak menuntut bayaran semula hutang pada bila-bila masa, tidak kira sama ada dinyatakan tempoh tertentu dalam kontrak ataupun tidak. Walau bagaimanapun jika terdapat tempoh tertentu yang dijadikan sebagai syarat tersebut dan syarat tersebut dianggap sebagai syarat yang tidak diterimapakai. Namun adakah syarat ini memberi kesan kepada kontrak tersebut? Beberapa perkara perlu dilihat :
i.              Jika tempoh yang ditetapkan adalah untuk manfaat pemiutang, contohnya jika waktu tersebut adalah musim rompakan dan pemiutang meletakkan tempoh tersebut dengan andaian dalam tempoh tersebut keadaan telah aman, syarat ini dikira telah membatalkan kontrak kerana syarat ini memberikan manfaat tambahan kepada pemiutang dan dianggap sebagai syarat tambahan kepada kontrak.
ii.             Jika syarat yang ditetapkan bukan untuk manfaat pemiutang, syarat tersebut tidak membatalkan kontrak dan tempoh tersebut tidak berkuatkuasa. Walau bagaimanapun digalakkan supaya tempoh tersebut dipenuhi kerana ia adalah janji yang membawa kepada kebaikan.
3. Syarat yang Perlu Dilaksanakan 
     Syarat yang perlu dilaksanakan ialah sebarang syarat yang ditetapkan bertujuan mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan mengesahkan hak pihak yang terbabit. Contohnya syarat yang meletakkan perlu disertakan gadaian atau penjamin atau saksi bagi kontrak tersebut, atau kontrak tersebut mesti disokong oleh hakim atau wujud catatan bagi hutang tersebut. Semua syarat seperti ini dibenarkan. Pemiutang berhak meletakkan syarat-syarat seperti ini kerana syarat-syarat ini mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan bukan sebagai syarat tambahan.
     Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. :
     Nabi s.a.w. menggadaikan sebuah perisai miliknya di Madinah kepada seorang yahudi supaya Baginda memperolehi barli untuk keluarga Baginda.
     Penghutang perlu memenuhi syarat-syarat ini dan jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, pemiutang boleh membatalkan kontrak tersebut.
    
    

 pembentang :
Muhammad Firdaus Bin Firus
10BI01039 / SMSU 4A

0 comments:

Post a Comment