Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Barangan yang sejenis .. ( ms 45-47 )

1-      Barangan yang sejenis
Apabila jual beli membabitkan barangan berunsur Riba dari jenis yang sama (dalam keadaan ini, Illah Riba juga juga sama). Contohnya gandum dengan gandum, gula dengan gula dan perak dengan perak. Jual beli ini perlu memenuhi tiga syarat bagi mengelak daripada termasuk dalam Jual beli Riba.

A.     Barangan yang ditukar tangan mestilah sama.
Mestilah mengikut sukatan yang sama bagi barangan yang boleh disukat seperti cupak dengan cupak, liter dengan liter. Demikian juga mestilah mengikut timbangan yang sama bagi barangan yang ditimbang seperti kati dengan kati, kilogram dengan kilogram. Ataupun mengikut bilangan yang sama bagi barangan yang dikira seperti lima dengan lima dan seterusnya.

B.     Kontrak tersebut mestilah tunai (serta merta).
Kontrak tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.

C.     Penerimaan.
Kedua-dua belah pihak mestilah menerima barangan yang ditukar sebelum mereka (berpisah daripada segi fizikal).

Kesemua syarat ini berpandukan kepada hadis-hadis sebelum ini:
مثلا بمثل
“Sama dengan sama”

Hadis ini menjelaskan bahawa Jual Beli berunsur  Riba bagi barangan yang sejenis dibenarkan jika wujud persamaan. Walau bagaimana pun ia tidak dibenarkan jika tiada persamaan.




يدا بيد
“tangan dengan tangan”
Dan sabda Baginda:
هاء وهاء
Ambil dengan ambil

Kedua-dua hadis ini menunjukkan sesuatu Jual Beli itu sah jika penerimaan berlaku secara tunai. Ia tidak sah jika bertangguh dan tidak diterima serta merta.


2-      Barangan tidak sejenis tetapi mempunyai Illah Riba yang sama.
Apabila Jual Beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur Riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai Illah Riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), Jual Beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan Jual Beli tersebut sah dan bersih daripada unsur Riba.
A.     Kontrak tersebut mestilah tunai serta-merta, seperti yang dinyatakan di atas.
B.     Penerimaan barangan berlaku di tempat memeterai kontrak.


Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan Jual Beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak. Kontrak ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.

Dalil bagi kes ini ialah Hadis daripada Ubadah r.a yang dinyatakan sebelum ini:
فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد
jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan tangan dengan tangan”.

Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam Hadis ini ialah barangan berunsur Riba yang dinyatakan oleh Hadis-hadis dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam Hadis ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam Jual Beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.
Apa yang dimaksudkan dengan, “Juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurus niaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.


3-      Barangan yang berlainan Illah Riba.
Sebagaimana yang kita maklumi, aspek yang diambil kira dalam menentukan sesuatu barangan itu berunsur Riba atau tidak ialah barangan tersebut berbentuk mata wang atau makanan.

Dengan ini maksud berlainan Illah Riba sudah tentu hanya merujuk kepada Jual Beli yang membabitkan salah satu barangan berbentuk mata wang dan satu lagi berbentuk makanan. Dalam keadaan ini, kesahihan Jual Beli dan kontrak tersebut tidak terikat dengan syarat –syarat yang dinyatakan di atas tadi. Dengan ini Jual Beli 20 cupak gandum dengan 10gram emas adalah sah, sama ada berlaku proses penyerahan dan penerimaan atau tidak, atau ditetapkan tempoh penyerahan tertentu atau tidak.

Dalil hukum ini ialah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم استعمل رجلا على خيبر فجاء بتمرجنيب فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أكل تمر خيبر هكذا قال لا والله يا رسول الله إنا لناخذ الصاع من هذا بالصاععين والصاععين بالثلاثة فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تفعل بع الجمع بالدراهم ثم ابتع بالدراهم جنيبا

Rasulullah s.a.w melantik seorang lelaki ke Khaibar lalu lelaki ini datang membawa tamar Junaib. Rasullulah s.a.w bertanya: Adakah semua tamar Khaibar seperti ini? Sahabat ini menjawab: Demi Allah tidak wahai Rasulullah, kami ambil segantang sebagai tukaran dengan dua gantang, dua gantang dan tiga gantang. Nabi s.a.w besabda: Jangan lakukan begitu. Juallah tamar Jama’ itu sebagai tukaran dengan dirham dan kemudian, dengan dirham itu belilah tamar Junaib.



            Tamar Junaib adalah sejenis tamar yang elok dan tamar Jama’ ialah sejenis tamar yang tidak elok atau bercampuk aduk.

Hadis ini menunjukkan Jual Beli dibenarkan jika salah satu barangan dalam bentuk mata wang dan barangan satu lagi dalam bentuk yang lain,  sama ada makanan atau bukan.

4-      Pertukaran barangan berunsur Riba dengan barangan bukan berunsur Riba.
Apabila Jual beli membabitkan barangan berunsur Riba dan bukan berunsur Riba, Jual Beli tersebut sah  tanpa terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan bagi urusniaga barangan berunsur Riba. Tidak perlu dibayar dengan kadar yang sama atau dibayar secara tunai atau diterima di majlis kontrak. Ini kerana, urusniaga ini tidak termasuk dalam ertikata urusniaga berunsur Riba jika salah satu barangan pertukaran bukan berunsur Riba.

            Apabila apa-apa jenis makanan dijual sebagai tukaran dengan bukan makanan contohnya baju, Jual Beli tersebut sah. Sama seperti masalah salah satu barang tadi ialah mata wang. Jual Beli ini sah dan dibenarkan sama ada kedua-dua barangan tersebut sama kadarnya atau tidak sama, dijual secara tunai atau bertangguh, daripada jenis yang sama atau jenis yang berbeza.

Bilakah Persamaan Ini Diambil Kira
·         Dengan ini, bijirin dengan bijirin tidak boleh dijual beli kecuali setelah ia kering dan dibersihkan daripada kulitnya agar benar-benar sama.
·         Buah kurma basah (rutob) juga tidak boleh dijual kecuali setelah menjadi tamar. Oleh itu rutob dangan rutob tidak boleh dijual beli. Begitu juga rutob dengan tamar.
·         Anggur dengan anggur, atau anggur dengan kismis juga tidak boleh dijual beli kerana kematangan anggur hanya berlaku apabila ia berubah menjadi kismis.
·         Begitu juga dengan buah-buahan lain seperti tin atau apricot. Ia tidak boleh dijual beli sesama jenisnya kecuali dalam keadaan kering. Oleh itu buah-buahan yang basah atau yang basah dengan yang kering tidak boleh dijual beli.




Rujukan masalah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh al- Tirmizi bahawa Saad bin Abu Waqqas r.a berkata:
Saya pernah dengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang jual beli kurma (tamar) dengan kurma basah (rutob). Baginda bersabda kepada orang disekeliling: “Adakah kurma basah (rutob) akan lebih ringan apabila ia kering? Para sahabat menjawab: Ya. Oleh itu, Baginda melarangnya.” al-Tirmizi berkata; Hadis ini hasan sahih dan diamalkan oleh ahli ilmu.
[sunan al-Tirmizi, Jual beli, Bab hadis yang menyebut makhruh jual beli buah-buahan kecuali setelah ia kelihatan matang, no. 1225. Abu Daud, Jual beli dan sewaan, Bab Jual beli kurma dengan kurma, no. 3359. Al-Nasaie, Jual beli, Bab Jual beli kurma (tamar) dengan kurma basah (rutob), 7/268, Ibnu Majah, Perniagaan, Bab jual beli kurma basah (rutob) dengan kurma (tamar), no. 2264. Muwatto’, Jual beli, Bab perkara makhruh dalam Jual beli tamar, 2/624]


Faktor Yang Mengahalang Persamaan
Terdapat beberapa faktor yang menghalang wujudnya persamaan antara dua barangan yang sejenis:
·         Kesan bakaran
Apabila wujud kesan bakaran pada barangan yang berunsur riba sama ada secara panggang, goreng atau masak, contohnya susu yang dididih, daging dipanggang atau kacang yang direbus, barangan-barangan ini tidak boleh dijual beli dengan barangan yang sama dan sejenis dengannya kerana tidak mungkin wujud persamaan. Sebabnya, kesan bakaran ini tidak boleh disukat. Oleh itu ia berbeza antara satu barangan dengan satu barangan dan tidak mungkin wujud persamaan.
Walau bagaimanapun tidak salah jika bakaran tersebut untuk tujuan pemisahan. Contohnya untuk memisahkan madu dengan sarangnya, minyak sapi dengan susu atau emas dengan perak dengan bahan campurannya dengan tujuan mengelak penipuan.

·         Campuran
Apabila barangan yang berunsur riba dicampurkan dengan bahan yang tidak sejenis dengannya sama ada bahan tersebut juga berunsur Riba atau bukan, persamaan tidak akan wujud kerana kadar campuran tidak boleh ditentukan. Oleh itu barangan ini tidak boleh dijual dengan barangan sejenisnya sama ada yang telah dicampur dengan sesuatu atau tidak. Atas dasar ini, keju dengan keju putih dianggap sebagai dua barangan yang berbeza jenis.

pembentang : Nurazian binti Mohd Noor
                        ( 10BI01013 )

0 comments:

Post a Comment