Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Hibah ( ms 72-74 )

Jika saya dijemput untuk makan lengan atau betis, nescaya saya akan menerimanya. Jika saya dihadiahkan dengan lengan atau betis nescaya saya akan menerimanya.”
Ijmak Ulama
Para fuqaha Islam pada sepanjang zaman sependapat bahawa sebarang bentuk anugerah adalah digalakkan kerana amalan ini sebahagian daripada budaya bekerjasama. Firman Allah Taala :
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. (Al-Maidah : 2)
Anugerah kepada Saudara Mara
Oleh kerana anugerah adalah suatu amalan yang bertepatan dengan syarak malah digalakkan, dengan itu anugerah yang diberikan kepada saudara mara sudah tentu lebih digalakkan, lebih disunatkan dan mendapat pahala yang lebih besar. Ini kerana selain mewujudkan suasana harmoni dan saling bekerjasama, anugerah ini juga mengeratkan silaturrahim. Allah telah menggalakkan kita supaya mengeratkan hubungan silaturrahim. Firman Allah Taala :
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kami selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat. (An-Nisa : 1)
Maksudnya, hendaklah kamu berwaspada agar tidak memutuskan hubungan silaturrahim.
Perkara ini juga menjadi amalan Rasulullah s.a.w. apabila Baginda bersabda :
Sesiapa yang mahu dipermudahkan rezekinya (diperbanyakkan dan diberkati) dan diperpanjangkan umurnya, hendaklah dia menghubungkan silaturrahimnya.”
Membalas Budi
Bagi orang yang menerima anugerah, mereka digalakkan membalas anugerah yang diberikan itu jika dia berkemampuan kerana mencontohi amalan Rasulullah s.a.w. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata :
Apabila Rasulullah s.a.w. menerima hadiah, Baginda akan membalasnya.”
Hikmah
Islam meletakkan sasaran, iaitu mewujudkan masyarakat ideal dan harmoni yang hidup berlandaskan semangat kasih saying dan kemesraan, saling berhubungan dan rapat. Oleh itu syarak telah membenarkan segala perkara yang boleh memantapkan hubungan yang erat sesama anggota masyarakat dan segala perkara yang mampu mewujudkan kemesraan dan keharmonian. Anugerah (hibah) menjadi salah satu cara yang berkesan untuk mewujudkan suasana ini, kerana amalan ini menyemai budaya saling hormat-menghormati dan berkasih-sayang. Menjadi tabiat manusia untuk merasa kasih terhadap orang yang menghormati dan melayan dirinya dengan baik serta menunjukkan sikap mesr dan hormat terhadapnya.
Hadis Rasulullah s.a.w. dengan jelas mengetengahkan nilai  ini. Baginda bersabda :
Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.”
Baginda juga bersabda :
Bertukar-tukarlah hadiah kerana hadiah akan menghilangkan kesempitan dada.”
Maksud kesempitan dada ialah rasa dengki yang mungkin ada dalam jiwa.
Bagi menyempurnakan maksud yang baik ini, kita dapati Rasulullah s.a.w. menggalakkan penerima supaya menerima anugerah  yang diberi dan tidak menolaknya. Penolakan ini akan hanya melukakan hati pemberi. Mungkin pemberi akan merasakan orang itu memandang rendah kepadanya. Sebelum ini kita telah sebutkan hadis Nabi s.a.w. :
Jangan seseorang jiran menghina jirannya walaupun sekadar firsin (tapak kaki) kambing
Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnad, Nabi s.a.w. bersabda :
Sesiapa yang menerima pemberian saudaranya walaupun tidak diminta dan bukan untuk membangga diri, dia hendaklah menerimanya dan jangan menolaknya. Itu adalah rezeki yang Allah hulurkan untuknya.”
Walau bagaimanapun, jika wujud alasan yang dibenarkan oleh syarak untuk seseorang tidak menerima sesuatu pemberian, dia hendaklah menjelaskan alasannya supaya tidak timbul prasangka dalam hati orang yang member. Inilah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. ketika Baginda dihadiahkan haiwan buruan ketika Baginda sedang berihram.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada al-Sa’ab bin Juthamah al-Laithi r.a. :
Dia telah menghadiahkan seekor keldai liar kepada Rasulullah s.a.w. Ketika itu Baginda sedang berada di Abwa’ atau di Waddan, lalu Baginda menolaknya. Namun apabila melihat raut mukanya, Baginda bersabda : “Saya tidak menolaknya selain kerana saya sedang berihram.”
Keldai liar di sini ialah kuda belang ; binatang yang boleh dimakan dagingnya. Abwa’ dan Waddan pula adalah dua tempat antara Mekah dan Madinah. Maksud raut muka ialah sedih dan marah yang terbayang di mukanya kerana nabi s.a.w. menolak, mungkin kerana merasakan sebab Baginda menolaknya ialah Baginda marah dan tidak meredainya. Perlu diketahui bahawa orang berihram dilarang mengambil hasil buruan.
Rukun dan Syarat Anugerah
Terdapat tiga rukun bagi anugerah (hibah) iaitu dua pihak yang berkontrak dan barangan yang dianugerahkan. Setiap rukun ini perlu memenuhi syarat-syarat yang akan dijelaskan selepas ini.
1.     Dua pihak yang memeterai kontrak (pemberi dan penerima)
Pemberi anugerah perlu memenuhi syarat-syarat yang berikut :
a.     Mestilah pemilik kepada barangan yang dianugerah.
b.     Mestilah layak untuk memberi sumbangan.
c.      Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya.
Dengan ini tidak sah menganugerahkan sesuatu yang bukan miliknya. Anugerah oleh kanak-kanak dan orang gila juga tidak sah kerana mereka tidak layak untuk memberi sumbangan dan tidak mempunyai kuasa hak milik selain ia hanya memudaratkan. Atas dasar ini juga, penjaga mereka tidak berhak memberikan barangan mereka sebagai anugerah kepada sesiapa bagi pihak mereka. Ini kerana sumbangan ini tidak mempunyai apa-apa keuntungan berbentuk kebendaan. Dengan itu anugerah ini hanya memudaratkan dan ini tidak boleh dilakukan oleh penjaga, kerana kuasa jagaan mereka terbatas dalam perkara yang membawa kebaikan kepada orang-orang yang berada di bawah jagaan mereka.
Anugerah ini juga tidak boleh diberikan oleh orang yang dihalang daripada menggunakan harta mereka seperti orang yang kurang akal atau muflis.
Sementara penerima anugerah pula hanya perlu memenuhi satu syarat iaitu berkelayakan untuk menerima hak milik anugerah tersebut. Dengan ini anugerah boleh diterima oleh semua manusia yang dilahirkan. Termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang gila. Walau bagaimanapun penjaga mereka akan menerima anugerah tersebut bagi pihak mereka. Dengan ini juga, tidak sah anugerah diberikan kepada janin kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hak miliknya.
2.     Sighah kontrak : Penawaran dan persetujuan
Contoh penawaran (ijab) ialah pemberi berkata : “Saya anugerahkan kepada anda.” “Saya pindahkan kepada anda.” “Saya serahkan hak milik barangan ini kepada anda tanpa sebarang bayaran.” “Saya berikan ia kepada anda.”
Begitu juga dengan ungkapan : “Saya berikan anda makanan ini.” “Saya jadikan baju ini hak anda.”
Sesetengah ucapan ini secara langsung merujuk kepada anugerah kerana ia menggunakan perkataan tersebut. Sesetengahnya pula diterima sebagai ucapan secara langsung kerana perkataan yang digunakan merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gentian yang merujuk kepada makna anugerah. Kesemua ucapan ini tidak memerlukan kepada niat. Jika pemberi anugerah mendakwa dia tidak berniat member anugerah tersebut, pengakuannya tidak diterima.
Terdapat beberapa ucapan yang tidak merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada anugerah. Ketiak itu ucapan tersebut bergantung kepada niat. Contohnya : “Saya pakaikan baju ini pada anda.” “Saya bawa anda menaiki kenderaan ini”. Ucapan-ucapan seperti ini secara simbolik merujuk kepada anugerah. Jika disertakan dengan niat, ucapan ini diterima sebagai penawaran (ijab). Jika pemberi berkata dia tidak bermaksud demikian, pengakuan tersebut diterima dan ia hanya merujuk kepada hutang kerana ucapan tersebut juga boleh merujuk kepada hutang dan juga anugerah.
Jika pemberi berkata : “Saya kurniakan barang ini kepada anda,” atau “barang ini adalah kurniaan untuk anda”. Ucapan ini merujuk kepada anugerah kerana perkataan yang digunakan merujuk secara langsung kepada anugerah.
Contoh bagi persetujuan (qabul) pula ialah penerima berkata : “Saya terima.” “Saya setuju.” “Saya telah dianugerah”.
Syarat sighah kontrak
1.     Penawaran dan persetujuan (ijab dan qabul) mestilah berkesinambungan.
Iaitu tiada ruang yang dianggap sebagai pemisah menurut amalan yang diguna pakai.

2.     Tiada bersyarat

Contohnya pemberi berkata : “Jika Zaid dating, saya akan anugerahkan baju ini kepada anda.” Ini kerana anugerah adalah suatu penyerahan hak milik. Sementara penyerahan hak milik boleh dikaitkan dengan sesuatu yang tidak tentu wujud atau tidak. Dengan itu tidak sah penawaran tersebut.

3.     Tidak bertempoh.
Contohnya pemberi berkata : “Saya anugerahkan buku ini kepada anda selama sebulan atau setahun”. Ini kerana syarat ini bercanggah dengan implikasi kontrak iaitu pemindahan hak milik penuh yang berkuat kuasa serta-merta.

pembentang : Muhammad Miftahuddin bin Mohamed
                                 SMSU 4A
\

Hukum Memberi Hutang ms ( 63-65)

Hukum Memberi Hutang
            Berdasarkan dalil-dalil syarak di atas, kita fahami bahawa memberi hutang adalah sunat sementara meminta hutang adalah harus. Inilah hukum hutang dalam keadaan biasa. Walaubagaimanapun, hukum ini mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang. Oleh itu hutang menjadi :
1.    HARAM : jika pemiutang mengetahui hutang tersebut digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi atau sebagainya.
2.    MAKRUH : jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk. Atau pun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.
3.    WAJIB : jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.
Rukun Hutang
            Hutang mempunyai tiga rukun iaitu ; sighah kontrak hutang, pihak yang terbabit dan subjek hutang.
1.    Rukun Pertama : Sighah Kontrak Hutang
Sighah ialah penawaran dan persetujuan pihak yang terbabit (ijab dan qabul). Contohnya, “saya hutangkan” dan “saya berhutang”. Walaubagaimanapun, tidak disyaratkan hanya menggunakan perkataan hutang. Malah boleh digunakan sebarang perkataan yang merujuk kepada maksud tersebut. Contohnya, “saya dahulukan untuk anda” atau “saya serahkan harta dengan anda memberikan gantinya” atau “ambil dan gantikan dengan barangan yang sama”. Penghutang pula berkata: “saya minta didahulukan.” “saya terima barang ini dan saya akan gantikannya” atau sebagainya.
Selain itu, perkataan yang digunakan boleh juga dalam bentuk seperti contoh di atas, atau dalam kata perintah. Contohnya, “hutangkan kepada saya” atau “ ambillah dahulu daripada saya” atau sebagainya. Ini berdasarkan amalan yang biasa diguna pakai oleh orang ramai (uruf).
Hutang ini perlu mengandungi sighah, iaitu penawaran daripada pemiutang dan persetujuan daripada penghutang kerana sighah ini menjadi bukti kerelaan kedua-dua pihak. Prinsip ini digunakan dalam kontrak hutang dan tidak memadai hanya dengan hulur-menghulur. Contohnya, penghutang berkata: “hutangkan saya.” Lalu pemiutang memberikan apa yang dikehendaki dan penghutang mengambilnya.
  1. Rukun Kedua: Pihak Yang Terbabit Dengan Kontrak Iaitu Pemiutang Dengan Penghutang
Syarat-syarat bagi kedua-dua pihak ialah :
  1. Waras.
Maksud waras ialah sudah baligh dan berkelayakan melaksanakan perintah agama dan menggunakan harta. Ini kerana hutang termasuk dalam kontrak pertukaran barang. Oleh itu pihak yang memeterai kontrak mestilah waras bagi mengesahkan kontrak pertukaran barang tersebut. Dengan ini, tidak sah hutang yang membabitkan dengan kanak-kanak, orang gila dan orang yang dihalang daripada bertindak terhadap hartanya (mahjur ‘alaihi) kerana mereka ini tidak dibenarkan menggunakan harta.
  1. Pilihan Sendiri
Tidak sah jika hutang tersebut membabitkan orang yang dipaksa kerana paksaan menafikan kerelaan.
  1. Pemiutang Layak Menyerahkan Hutang
Ini kerana hutang hampir sama dengan sumbangan. Oleh itu, pemiutang perlu berkelayakan. Tidak sah seorang penjaga yang mahu berhutang daripada harta orang yang berada di bawah jagaannya tanpa sebab yang perlu atau mendesak.
  1. Rukun Ketiga: Subjek Hutang Iaitu Harta Yang Diberikan Sebagai Hutang
Barangan yang dijadikan hutang tidak semestinya barang mithali. Malah semua barangan yang boleh dimiliki secara jual beli boleh dijadikan hutang. Cuma sifat-sifat barangan tersebut hendaklah boleh dinyatakan supaya jika wujud perbezaan, ia hanya membabitkan perbezaan yang kecil. Barangan tersebut juga mestilah sah untuk dilakukan jual beli secara jual beli salam.
Atas dasar ini, sah member hutang dalam bentuk dirham, dinar, gandum, barli, telur, daging dan sebagainya yang dikategorikan sebagai barangan mithli. Demikian juga hutang dalam bentuk haiwan, harta tak boleh alih dan sebagainya yang dikategorikan sebagai barangan qiymi yang boleh dinyatakan spesifikasinya. Bagi barangan qiymi yang tidak boleh dinyatakan spesifikasinya dan barangan qiymi yang tidak boleh dihutangkan (iaitu barangan qiymi yang tidak sah dijual beli secara jual beli salam), terdapat dua pendapat mengenai kesasihan hutang tersebut. Pendapat yang paling sahih ialah tidak dibenarkan kerana barangan yang tidak dapat dinyatakan spesifikasinya tidak dapat atau sukar untuk diganti.
Dalil
1.    Hadis Abu Rafi’ r.a., hamba Rasulullah s.a.w. ;
Nabi s.a.w. berhutang seekor unta muda daripada seorang lelaki. Selepas itu baginda menerima unta sedekah (zakat). Lantas baginda meminta Abu Rafi’ membayar seekor unta muda kepada lelaki tadi tetapi Abu Rafi’ kembali sambil berkata: saya tidak jumpa dan yang ada hanya unta rabaie? Baginda bersabda: berikanlah unta ini kepadanya. Manusia terbaik ialah manusia terbaik dalam membayar hutang.
Rabaie ialah unta yang berumur enam tahun mencecah tujuh tahun iaitu unta yang baru tumbuh gigi kacip iaitu antara gigi kapak dengan taring. Gigi kapak ialah dua batang gigi yang berada dihadapan sekali.
Jelas, unta muda bukan harta mithli dan ini menjadi hujah harta yang dipinjamkan tidak semestinya harta mithli.
2.    Harta yang boleh dinyatakan spesifikasinya dikategorikan sama dengan harta mithli, dengan itu harta ini boleh diberikan sebagai hutang.



Syarat Hutang
1.    Kadar hutang diketahui ketika hutang dibuat, sama ada dalam bentuk sukatan, timbangan, bilangan atau ukuran, supaya barangan ini boleh dipulangkan seumpama dengannya.
Jika pemiutang memberikan wang dirham tanpa diketahui jumlahnya, atau pun makanan tanpa diketahui sukatannya atau timbangannya, hutang tersebut tidak sah. Begitu juga jika hutang tersebut berupa makanan yang siap dimasak, hutang tersebut tidak sah kerana sukatan makanan tersebut berbeza dan tidak diketahui.
Perkara yang diambil kira bagi barangan yang disukat atau sebagainya ialah ukuran yang diguna pakai oleh syarak. Jika tidak terdapat dalam syarak, ia perlu merujuk kepada amalan (uruf) yang diguna pakai, seperti yang dibincangkan dalam tajuk riba.
2.    Hutang tersebut mestiah satu jenis dan tidak bercampur dengan jenis yang lain.
Ini kerana dalam keadaan ini sukar untuk memulangkan barangan yang seumpama dengannya. Apatah lagi jika kadar campuran tidak diketahui. Dengan ini tidak dibenarkan memberi hutang gandum yang dicampur dengan barli atau susu yang dicampur dengan air.
Hutang Roti
            Para ulama membenarkan penghutangan roti sama ada mengikut berat atau bilangan kerana perbuatan ini telah diamalkan sejak zaman-berzaman tanpa sebarang bantahan. Jadi, roti dikecualikan daripada barangan yang bercampur dan tanpa spesifikasi.

pembentang : Muhammad Syafiq Bin Zulkarnain,
                              10BI01002 / SMSU 4A

Barangan yang tidak dapat dinyatakan spesifikasinya. ( ms 33-35 )

Barangan yang tidak dapat dinyatakan spesifikasinya.

Barangan jenis ini tidak dibenarkan dan tidak sah untuk dijual beli salam. Ini kerana membuat kontrak untuk barangan yang tidak diketahui  adalah tindakan yang salah dan boleh membawa kepada perbalahan.
Di sini para fuqaha telah membuat beberapa contoh diantaranya ialah :
·         Kulit – kulit adalah berbeza-beza dari segi tebal dan nipis sedangkan ia adalah aspek utama dalam jual beli kulit.
·         Batu Permata – harga permata adalah berbeza mengikut bentuk dan sifat-sifatnya dan perkara ini tidak dapat dinyatakan spesifikasinya dengan jelas.
·         Makanan yang penyediaannya melibatkan penggunaan api sama ada dipanggang, digoreng atau dimasak. Kerana penggunaan api memberi kesan yang berbeza dan sudah tentu tidak dapat dinyatakan dgn jelas. Kecuali bagi barangan yang dibakar dgn tujuan untuk memisahkannya, kerana kesan pembakaran tersebut terlalu kecil.
o   Minyak sapi yang dibakar untuk tujuan memisahkannya daripada susu.
o    Madu yang dibakar untuk memisahkannya daripada sarangnya.

b. Barangan tersebut mestilah dikenalpasti jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua2 pihak.

·         Jenis : gandum atau barli.
·         Kualiti : tempatan atau import
·         Jumlah : 1000 gantang ikut sukatan atau mengikut timbangan jika boleh ditimbang, mengikut bilangan jika boleh dikira atau dengan ukuran sekiranya boleh diukur.
·         Sifat : contohnya dinyatakan dengan warna, ukiran atau acuan, tebal atau nipis, atau sifat lain yang berbeza-beza mengikut kehendak pengguna.
Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
            “barangsiapa yang berjual beli salaf (salam), hendaklah dia berjual beli salaf dengan ukuran yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan sehingga tempoh yang dimaklumi”
            Perkara-perkara yang boleh digunakan bagi mengenalpasti barangan yang dijual boleh diqiaskan di  sini
c. barangan tersebut tidak bercampur aduk dengan barang yang berlainan jenis.

            Contohnya makanan yang bercampur aduk dengan barli dan sebagainya. Ataupun minyak wangi  yang bercampur antara kasturi, anbar dan sebagainya.  Sedangkan kadar campuran tersebut tidak diketahui dengan jelas.
            Jika kandungan campuran dan kadar setiap campuran boleh diketahui dengan jelas, jual beli salam adalah sah. Contohnya, pakaian yang diperbuat daripada bulu dan kapas, dan kadar campuran bulu dan kapas ada dinyatakan dgn jelas.
            Termasuklah dalam barangan yang sah dijual beli secara salam, barangan yang dicampur dangan bahan tertentu untuk kepentingan dan supaya tahan lama. Contohnya, keju yang diproses dengan mencampur garam dan renit dalam susu. Barangan ini boleh dijual beli secara salam.

d. Barang tersebut mestilah diperhutangkan, iaitu barangan dalam tanggungan (zimmah) yang hanya dinyatakan sifat tanpa merujuk kepada barangan tertentu.

            Contohnya, pembeli membayar RM1000 untuk membeli 100 helai baju dengan spesifikasi yang tertentu. Jika pembeli berkata, “saya bayar secara jual beli salam sebanyak RM1000 untuk 100 helai baju ini”, iaitu pakaian yang telah siap dan berada dihadapannya,jual beli salam itu tidak sah. Sebab, jual beli salam disyariatkan bagi jual beli barang dalam tanggungan yang hanya dinyatakan sifatnya sahaja dan lafaz kontrak hendaklah merujuk kepada maksud ini.
            Lafaz kontrak seperti contoh diatas tidak menjadikan jual beli salam. Ini adalah kerana lafaz kontrak jual beli salam hendaklah menunjukkan bahawa barangan yang dijual adalah dalam bentuk hutang. Sedangkan ungkapan “100 helai baju ini” menunjukkan barangan yang dijual bukan hutang.
dengan ini wujud percanggahan dalam lafaz kontrak sekaligus bermakna kontrak tersebut tidak sah.


e. Barang tersebut mampu diserahkan

Barang tersebut mampu diserahkan, berdasarkan tempoh dan jenis yang ditetapkan. Dan menurut sangkaan berat, jenis yang ditetapkan itu akan wujud pada masa yang ditetapkan. Jika jual beli salam tersebut membabitkan barangan yang biasanya tidak wujud pada masa yang ditetapkan, contohnya buah anggur dalam musim sejuk atau buah kurma atau sebagainya, maka jual beli salam itu tidak sah.

            Jika barangan yang dijual secara jual beli salam mudah didapati, tetapi tidak berjaya diperolehi pada masa yang ditetapkan, perjanjian (al-Salam) tersebut tidak terbatal. Pembeli boleh membuat pilihan samaada menunggu sehingga barang yang ditempah wujud atau membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil semula modal atau harga yang telah dibayar, tanpa kurang dan lebih.

f.  Tempoh penyerahan perlu ditetapkan.

Tempoh penyerahan perlu dihadkan dalam tempoh tertentu yang dimaklumi bersama. Contohnya pembeli berkata : “Saya serahkan RM 1,000.00 untuk 10 helai baju yang mempunyai spesifikasi seperti berikut dengan syarat anda serahkan barangan tersebut kepada saya selepas sebulan dari tarikh kontrak ini atau pada awal bulan hadapan”. Jika tiada sebarang tempoh yang dinyatakan atau ada tempoh dinyatakan tetapi tidak dinyatakan dengan tepat, contohnya pembeli berkata : “Barangan tersebut hendaklah diserahkan pada masa si fulan pulang dari musafirnya.” Maka kontrak ini tidak sah kerana tempoh di sini tidak dinyatakan dengan jelas. Ini kerana masa si fulan itu kembali tidak diketahui dengan tepat. Akibatnya akan berlaku perselisihan dan perbalahan tentang tempoh yang dimaksudkan oleh kedua-dua pihak.
Dalil dalam perkara ini ialah hadith Nabi saw yang bermaksud :
 “Hingga ke tempoh yang dimaklumi.”
Jika penjual membawa barang yang ditempah sebelum tempoh yang ditetapkan, pembeli boleh mengambil barang tersebut dengan syarat tiada sebarang perbelanjaan atau bebanan yang perlu ditangung dalam baki tempoh yang dipersetujui. Pembeli juga tidak mempunyai alasan untuk tidak menerimanya. Namun jika barangan tersebut mempunyai sebab yang dibenarkan syara’ untuk pembeli tidak menerimanya awal dari waktu yang telah ditetapkan, seperti memerlukan tempat penyimpanan dan pembeli ketiadaan tempat, atau barangan tersebut adalah haiwan yang perlu diberikan makan, atau ketika itu berlaku banyak kes rompakan dan pembeli bimbang keselamatan barangnya. Maka pembeli tidak boleh dipaksa untuk menerima barang tersebut dan dia berhak menolaknya.

7- Tempat penyerahan perlu ditetapkan.

Ini jika tempat berlaku kontrak tidak sesuai untuk dijadikan tempat penyerahan, ataupun sesuai, tetapi penghantarannya memerlukan perbelanjaan. Jika tempat tersebut sesuai untuk penyerahan dan penghantarannya tidak memerlukan perbelanjaan, tempat itu boleh dijadikan tempat penyerahan dengan syarat tiada tempat penyerahan lain yang dicatatkan dalam kontrak. Jika kedua-dua pihak bersetuju menjadikan tempat lain sebagai tempat penyerahan, penyerahan hendaklah dilakukan disitu. Jika berlaku perselisihan dalam soal ini, perlu dirujuk kepada amalan setempat yang diguna pakai.


pembentang :
Muhammad Anis Bin Mohd
10BI01024 / SMSU 4A

Implikasi Hutang ( ms 66-68 )

Implikasi Hutang
                Apabila sesuatu hutang dibenarkan, implikasinya ialah hak milik barangan tersebut akan berpindah daripada pemiutang kepada penghutang. Ketika itu penghutang perlu memulangkan semua barangan yang seumpama dengannya apabila diminta oleh pemiutang. Adakah peralihan hak milik ini bermula dengan penerimaan barangan yang dihutang atau setelah ia digunakan?
                Menurut pendapat yang paling sahih (asah), penghutang memperolehi hak milik barangan yang dihutang ketika penerimaan. Ini kerana ulama sependapat penghutang boleh menggunakan barangan tersebut sebaik sahaja menerimanya. Ia menunjukkan hak miliknya telah disahkan sebelum penggunaan tersebut. Jika dia tidak memiliki hutang tersebut pada ketika menerimanya, sudah tentu dia tidak berhak menggunakannya.
                Dengan ini, setelah selesai kontrak hutang dan penghutang telah menerima hutang tersebut, menurut satu pendapat, pemiutang tidak berhak menarik balik hutang tersebut kecuali dengan persetujuan penghutang. Walau bagaimanapun dia berhak meminta bayaran semula hutang yang seumpama dengannya kerana bayaran semula ini wajib mengikut kontrak hutang.
                Tetapi menurut pendapat yang paling sahih (asah), dalam kes ini, pemiutang berhak menarik balik hutang tersebut jika barangan tersebut masih kekal seperti sedia kala dan tidak membabitkan hak orang lain. Hukum ini tidak bercanggah dengan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang terhadap barangan yang dipinjam sebaik selepas menerimanya. Ini kerana walaupun demikian pemiutang masih berhak menuntut semula hutang daripada penghutang jika barangan tersebut hilang. Ini bermakna, meminta semula hutang yang masih wujud sudah tentu lebih patut kerana ia lebih mudah. Dengan ini, penghutang wajib memulangkan semula barangan tersebut jika diminta oleh pemiutang.
Walau bagaimanapun, jika barangan tersebut masih wujud tetapi keadaannya telah berubah, contohnya kambing yang telah disembelih atau gandum yang telah dikisar atau pun ia telah membabitkan hak orang lain, contohnya ia telah dijadikan sebagai gadaian oleh penghutang, dalam kes ini pemiutang tidak berhak meminta semula hutang asal tadi.
Namun jika penghutang hanya menyewakan barangan tersebut kepada orang lain, pemiutang masih berhak memintanya semula. Berbeza dengan barangan yang digadaikan, kerana penerima gadaian mempunyai hak terhadap barangan yang digadai. Sebaliknya penyewa tidak mempunyai hak yang sama.
Selain itu, pemiutang juka berhak meminta semula hutang walaupun wujud penambahan yang dilakukan pada barangan sama ada penambahan tersebut bercantum atau berasingan. Ini kerana benda yang bercantum perlu mengikut asalnya. Bagi yang berasingan pula, sudah tentu tidak menghalang barangan asalnya dipulangkan. Walau bagaimanapun penghutang memegang hak milik tambahan yang wujud kerana pertambahan ini berlaku ketika barangan tersebut dalam hak miliknya.
Ulama sependapat, penghutang berhak memulangkan semula hutang (barang yang sama) kepada pemiutang dan pemiutang tidak berhak menuntut ganti lain yang seumpama atau yang sama nilai dengannya.
Menurut pendapat kedua tentang peralihan hak milik ini, penghutang tidak mempunyai hak milik ke atas hutang kecuali setelah barangan tersebut digunakan dengan cara yang menunjukkan berlaku peralihan hak milik. Contohnya barangan tersebut dihadiahkan atau dijual beli atau dirosakkan atau digunakan. Ini kerana, hak milik dapat disahkan melalui tindakan seperti ini. Juga kerana pemiutang masih berhak meminta semula barangan tersebut sebelum itu dan penghutang juga berhak memulangkannya. Jika barangan tersebut dianggap sebagai hak milik penghutang ketika menerimanya, kedua-dua pihak tidak berhak membatalkan hak milik tersebut. Kedua-dua pihak juga tidak berhak memulangkan atau meminta semula barangan tersebut.
Ini bermakna, pemiutang berhak meminta semula hutang selagi ia berada di tangan penghutang (seperti yang dinyatakan di atas) kerana ia masih menjadi miliknya dan masih belum menjadi hak milik penghutang.
Kesan daripada perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas apabila hutang tersebut memerlukan perbelanjaan ataupun ia mengeluarkan hasil. Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang selepas barangan tersebut diterima, penghutang perlu mengeluarkan perbelanjaan dan dia berhak memperolehi sebarang hasil sebaik sahaja menerimanya. Walaupun dia masih belum menggunakannya.
Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik hanya selepas penggunaan pula, perbelanjaan tersebut akan ditanggung oleh pemiutang. Begitu juga, segala hasil yang diperolehi dalam tempoh barangan tersebut diterima dan sebelum digunakan oleh penghutang adalah haknya.
Bayaran Hutang  
                Sepertimana yang kita maklum, barang yang dipinjam mestilah barangan mithli atau barangan qiymi dengan spesifikasi yang dinyatakan. Atas dasar ini :
                Pembayaran hutang perlu menggunakan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tidak, ia wajib dibayar dengan barangan yang sama nilai.
                Jika hutang tersebut ialah barangan qiymi, pembayaran perlu menggunakan barangan yang sama dengannya. Contohnya, penghutang berhutang seekor kambing, dia perlu membayar semula seekor kambing yang sama sifat-sifatnya. Pendapat ini berpandukan hadis Abu Rafi’ r.a. yang dinyatakan sebelum ini. Dalam hadis tersebut, Rasulullah s.a.w mengarahkannya supaya membayar hutang Baginda iaitu unta muda dengan unta muda kepada lelaki pemiutang itu.
                Pendapat lain mengatakan, hutang bagi barangan qiymi perlu di bayar menggunakan barangan yang sama nilai dengannya. Alasannya ialah, barangan mithli perlu dibayar dengan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tiada, ia perlu dibayar dengan barangan yang sama nilai dengannya.
                Bagi pendapat yang mengatakan pembayaran balik mesti dibayar dengan barangan yang sama nilai, mereka mengatakan :
                Pembayaran balik mesti berdasarkan nilai pada masa penerimaan. Pendapat ini berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik pada masa penerimaan. Ini adalah pendapat yang paling sahih (asah).
                Berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik apabila digunakan, pembayaran balik mesti berdasarkan nilai tertinggi sepanjang tempoh penerimaan hingga penggunaan.
                Jika pemiutang dan penghutang tidak sependapat dalam menentukan nilai yang sebenar atau ciri ciri barangan yang sama dengannya, pengakuan yang diterima ialah pengakuan penghutang yang perlu disertakan dengan sumpah. Sebabnya, dia adalah orang yang didakwa dan akan menanggung bayaran balik sama ada dalam bentuk sama nilai atau sama padan.
Bilakah Hutang Dituntut?
                Pemiutang berhak menuntut penghutang membayar semula hutang pada bila-bila masa selepas penghutang menerima barangan tersebut. Ini kerana menurut hukum hutang, penghutang diwajibkan memulangkan semula hutang pada ketika pemiutang menuntutnya semula. Alasannya, kontrak ini tidak boleh membabitkan bayaran tambahan dan dengan itu tidak boleh membabitkan tempoh tertentu.
                Hukum ini digunapakai sama ada dalam kontrak ada ditetapkan tempoh tertentu untuk membuat pembayaran ataupun tidak ditetapkan. Sama ada wujud amalan tertentu (uruf) yang digunapakai ketika itu ataupun tidak.
Syarat Hutang :
                Kadang kala kontrak hutang dikaitkan dengan beberapa syarat. Sesetengah syarat ini menyebakan kontrak tersebut terbatal. Sesetengahnya pula tidak membawa apa-apa implikasi kepada hutang tersebut. Sesetengahnya perlu dilaksanakan. Keterangannya adalah seperti berikut :
                1. Syarat yang Boleh Membatalkan Kontrak Hutang
                Semua syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan memberi keuntungan kepada pemiutang. Contohnya pemiutang memberikan hutang dengan syarat tedapat bayaran tambahan, atau dengan syarat penghutang pulangkan barangan yang baik sebagai ganti kepada barang yang tidak baik, atau dengan syarat penghutang menjualkan kepadanya rumahnya. Ini adalah contoh syarat yang tidak sah dan membatalkan kontrak hutang. Hukum ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w :
                “Semua hutang yang membawa keuntungan adalah riba.”
                Menurut kitab Mughni al-Muhtaj, walaupun hadis ini daif , tetapi al-Baihaqi telah meriwayatkan hadis ini daripada beberapa orang sahabat.
                Menurut kitab al-Muhazzab, diriwayatkan bahaya Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Abbas telah melarang semua jenis hutang yang membabitkan keuntungan.
                Apa yang ditekankan di sini ialah, sesuatu hutang pada dasarnya diberikan kerana didorong oleh rasa belas ehsan dan keinginan untuk membantu penghutang. Namun apabila pemiutang meletakkan syarat yang membawa keuntungan iaitu bayaran tambahan lebih daripada kadar hutang, ini bermakna hutang ini telah terkeluar daripada tujuan asalnya. Oleh itu, hutang seperti ini tidak sah.
                Ada diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda :
                “Tidak halal (bercampur tujuan dalam) kontrak hutang dan jual beli.”
                Sebelum ini telah dibincangkan, kalimah salaf bermaksud hutang menurut bahasa penduduk Hijaz sepertimana dalam hadis di atas.
                Selain itu, sepertimana yang kita maklum, kontrak yang tidak menepati syarat akan menyebabkan jual beli tersebut tidak sah dan dengan ini ia tidak membabitkan sebarang implikasi.
                Keuntungan yang Tidak Disyaratkan
                     Apabila penghutang membayar hutang lebih daripada hutang asal, ataupun penghutang memberikan hadiah sebagai tambahan kepada bayaran hutang tanpa pemiutang tebabit meletakkannya sebagai syarat dalam kontrak dan bukan menjadi amalan yang digunapakai (uruf), apakah hukum tindakan ini? Beberapa perkara perlu dilihat :
i. Jika manfaat tersebut diberikan sebelum hutang dibayar sepenuhnya, adalah lebih baik jika ia ditolak. Kecuali jika amalan bertukar-tukar manfaat tersebut telah menjadi kebiasaaan kedua-dua pihak sebelum kontrak hutang dilakukan.
Pendapat ini berpandukan hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang pernah ditanya :
Seorang lelaki di kalangan kami telah memberikan suatu barangan sebagai hutang kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberikannya hadiah. Anas menjawab : Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Apabila seseorang di kalangan kamu memberikan hutang, lalu orang yang berhutang memberikannya hadiah atau orang itu membawanya menaiki kenderaannya, janganlah dia naik atau menerimanya kecuali jika perbuatan itu telah pun biasa berlaku antara mereka sebelum itu.”
     Hukum makruh ini juga akan dikecualikan jika pemiutang turut memberi hadiah kepada penghutang sebagai membalas (mengimbangi) manfaat yang diberikan oleh penghutang.
ii. Jika manfaat tersebut (bayaran tambahan atau hadiah atau sebagainya) diberikan selepas hutang dibayar, tindakan ini tidak salah dan pemiutang tidak dimakruhkan untuk mengambilnya kerana hutang tersebut telah selesai dibayar. Malah, penghutang digalakkan berbuat demikian kerana mencontohi perbuatan dan juga perintah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh umat Islam membayar hutang mereka dengan cara yang terbaik. Perbuatan ini adalah salah satu perbuatan yang baik.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Jabir r.a berkata :
Suatu ketika saya datang menemui Nabi s.a.w.. Ketika itu Baginda berhutang dengan saya, lalu Baginda membayar hutangnya dan Baginda membayar lebih kepada saya.”
     Telah dinyatakan sebelum ini bagaimana Nabi s.a.w mengarahkan sahabat supaya membayar unta rabaie sebagai ganti kepada unta muda. Baginda bersabda ketika itu :
     “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”
     Walau bagaimanapun, perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat tindakan penghutang memulangkan hutang bersama bayaran tambahan atau memberikan sesuatu manfaat kepada pemiutang sebelum hutang sebenar dijelaskan tidak menjadi amalan (uruf) orang ramai. Selain itu, ia juga tidak menjadi amalan penghutang. Jika perbuatan tersebut menjadi amalan orang ramai atau menjadi amalan penghutang, mengikut pendapat yang kuat (aujah), makruh menerima manfaat ini kerana amalan ini boleh diibaratkan seperti syarat.
     2. Syarat yang Tidak Diterimapakai dan Tidak Membatalkan Kontrak Hutang
     Syarat-syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan tidak membawa sebarang manfaat kepada kedua-dua pihak atau hanya memberi manfaat kepada penghutang. Contohnya, diletakkan syarat supaya penghutang memulangkan barangan yang cacat sebagai ganti kepada barangan yang sempurna, ataupun barangan yang tidak elok untuk barangan yang elok. Atau pun syarat kontrak mewajibkan penghutang meminjamkan pula barangan tersebut kepada orang lain.
     Syarat-syarat seperti ini tidak diterima pakai dan tidak perlu dilaksanakan.
     Pendapat yang paling sahih (asah) mengatakan syarat seperti ini tidak membatalkan kontrak kerana syarat-syarat seperti ini hanya mengukuhkan lagi hasrat asal hutang iaitu melahirkan simpati. Syarat-syarat seperti ini tidak sedikitpun membawa manfaat kepada pemiutang. Sebaliknya semua manfaat tersebut diperolehi oleh penghutang. Seolah-olah tindakan pemiutang lebih bertujuan membantu penghutang.
     Syarat Tempoh Tertentu
                Telah dibincangkan sebelum ini bahawa pemiutang berhak menuntut bayaran semula hutang pada bila-bila masa, tidak kira sama ada dinyatakan tempoh tertentu dalam kontrak ataupun tidak. Walau bagaimanapun jika terdapat tempoh tertentu yang dijadikan sebagai syarat tersebut dan syarat tersebut dianggap sebagai syarat yang tidak diterimapakai. Namun adakah syarat ini memberi kesan kepada kontrak tersebut? Beberapa perkara perlu dilihat :
i.              Jika tempoh yang ditetapkan adalah untuk manfaat pemiutang, contohnya jika waktu tersebut adalah musim rompakan dan pemiutang meletakkan tempoh tersebut dengan andaian dalam tempoh tersebut keadaan telah aman, syarat ini dikira telah membatalkan kontrak kerana syarat ini memberikan manfaat tambahan kepada pemiutang dan dianggap sebagai syarat tambahan kepada kontrak.
ii.             Jika syarat yang ditetapkan bukan untuk manfaat pemiutang, syarat tersebut tidak membatalkan kontrak dan tempoh tersebut tidak berkuatkuasa. Walau bagaimanapun digalakkan supaya tempoh tersebut dipenuhi kerana ia adalah janji yang membawa kepada kebaikan.
3. Syarat yang Perlu Dilaksanakan 
     Syarat yang perlu dilaksanakan ialah sebarang syarat yang ditetapkan bertujuan mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan mengesahkan hak pihak yang terbabit. Contohnya syarat yang meletakkan perlu disertakan gadaian atau penjamin atau saksi bagi kontrak tersebut, atau kontrak tersebut mesti disokong oleh hakim atau wujud catatan bagi hutang tersebut. Semua syarat seperti ini dibenarkan. Pemiutang berhak meletakkan syarat-syarat seperti ini kerana syarat-syarat ini mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan bukan sebagai syarat tambahan.
     Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. :
     Nabi s.a.w. menggadaikan sebuah perisai miliknya di Madinah kepada seorang yahudi supaya Baginda memperolehi barli untuk keluarga Baginda.
     Penghutang perlu memenuhi syarat-syarat ini dan jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, pemiutang boleh membatalkan kontrak tersebut.
    
    

 pembentang :
Muhammad Firdaus Bin Firus
10BI01039 / SMSU 4A

SYARAT-SYARAT KHUSUS BAGI MEMBOLEHKAN TUKARAN MATAWANG ( ms 60-62)


SYARAT-SYARAT KHUSUS BAGI MEMBOLEHKAN TUKARAN MATAWANG
·         Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama jenis
Contohnya: emas dijual beli dengan emas atau perak dijual beli dengan perak. Kedua-dua barangan mesti sama dari segi berat sama ada dibentuk atau diacu atau sebagainya atau satu barang sahaja yang diacu atau dibentuk.
Jika kedua-dua barangan berlainan jenis, contohnya satu daripada perak dan satu daripada emas, kedua-dua barangan  ini boleh berlainan berat dan dijual mengikut andaian, maksudnya tanpa ditimbang. Contohnya, seorang penjual berkata: “Saya jual emas ini untuk perak ini.”. Jual beli ini dibenarkan.

·         Penyerahan serta merta
Syarat dalam tukaran matawang ialah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dinar, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam”. Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk anda.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya bersetuju”. Kontrak ini tidak sah.

·         Penyerahan dalam majlis kontrak
Dua pihak perlu bertukar barangan di dalam majlis kontrak sebelum berpisah. Sama ada barang itu sama jenis iaitu emas dengan emas, perak dengan perak atau berlainan jenis, contoh emas dengan perak.
Maksud bertukar-tukar tangan di sini ialah bertukar tangan secara perbuatan. Setiap pihak perlu serahkan barangan yang berada pada tangannya kepada pihak satu lagi. Jika dilepaskan hak milik tanpa diserahkan  dan tidak diterima oleh pihak satu lagi, kontrak itu tidak sah.
Maksud majlis di sini ialah pertemuan fizikal dan berpisah bermaksud berpisah secara fizikal. Jika dua pihak ini berjalan seiringan di dalam satu arah, majlis iti tidak akan tamat melainkan kedua pihak ini berjalan berlainan arah. Jika berpisah secara fizikal tetapi salah satu pihak tidak terima barang yang ditukar milik, kontrak itu tidak sah dan terbatal.


Syarat-syarat bertukar tangan ini dinyatakan di dalam sabda Nabi SAW:
ولا تبيعوا منها غائبا بناجز
Janganlah kamu menjual barang yang tidak ada dengan barang yang ada.

Demikian juga sabda baginda:
هاء وهاء
Kecuali ambil dengan ambil.

Dengan ini dapat difahami bahawa pertukaran matawang yang dilakukan oleh kebanyakan pihak hari ini tanpa bertukar-tukar tangan, sebaliknya hanya menggunakan talian telefon adalah kontrak tidak sah. Pendapatan melalui cara ini adalah pendapatan yang tidak bersih.

·         Kotrak tersebut mestilah muktamd (tanpa syarat)
Tiada syarat yang diletakkan untuk kedua-dua pihak atau salah satu pihak. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar matawang ini menetapkan syarat di mana salah satu pihak berhak menuntut khiyar dalam masa sehari atau dua hari atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut itu tidak sah. Hal ini adalah kerana syarat sah kontrak ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Sebaliknya hak khiyar menghalang pemilikan penuh oleh kedua-dua pihak. Oleh itu, tukar-menukar barangan sebenarnya tidak wujud kerana tidak wujud pemilikan penuh. Dengan ini tidak sah tukaran kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.




HUTANG (AL-QARDH)
Hutang dari segi bahasa: potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir, maksudnya saya memotong sesuatu.

Manakala dari segi istilah: memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Dalam bahasa arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada penghutang,

Dalam bahasa penduduk Hijaz, qardh dinamakan salaf. Dengan itu, kontrak ini sah dengan ungkapan “Saya berikan hutang”.

Pensyariatannya

Hutang dibenarkan dan bertepatan dengan syarak. Mereka yang memerlukannya dibenarkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta.

*       KITAB ALLAH

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), Maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”.
(Al-Baqarah:245)

Memberi pinjaman kepada Allah merangkumi sedekah dan hutang yang diberikan kepada manusia.


*        SUNNAH
-          Hadis Ibnu Mas’ud r.a., bahawa Nabi S.A.W bersabda:
ما من مسلم يقرض مسلما قرضا مرتين، إلا كان كصدقتها مرة
“Mana-mana orang Islam yang memberi hutang kepada seorang muslim sebanyak dua kali, nescaya hutang itu akan dikira sebagai sedekah yang diberikan kepadanya sebanyak dua kali.”


-          Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi S.A.W bersabda:
من أخذ أموال الناس يريد أداءها؛ أدى الله عنه. ومن أخذ يريد إتلافها؛ أتلفه الله
"Sesiapa yang mengambil harta benda orang lain dalam keadaan dia mahu membayarnya semula, maka Allah akan membayar untuknya. Sesiapa yang mengambil dengan niat untuk memusnahkannnya yakni tidak mahu membayarnya, maka Allah akan memusnahkannya di dunia dan akhirat.”

*        IJMA’ ULAMA
Seluruh umat Islam telah mengamalkan sistem ini semenjak zaman Rasulullah S.A.W hinggalah ke zaman kita. Para ulama telah menerima sistem ini dan tiada seorang pun yang menentangnya.

Hikmah Pensyariatan Hutang

Ø   Merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan atau kesengsaraan.

Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.


DISEDIAKAN OLEH:
AINATUL ZUHRAH BT ALADDIN
11BI01014/ SMSU 4B