Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Menjual barangan sebelum diterima & JUAL BELI YANG DIHARAMKAN TETAPI SAH , (ms 18-20)


~ sambungan dari kak hazirah.
* jual beli haram dan tidak sah .

6. Menjual barangan sebelum diterima

            Seorang pembeli membeli suatu dia menerima barangan, kemudian menjualnya sebelum dia menerima barangan tersebut. Jualan ini tidak dibenarkan dan tidak sah kerana barangan tersebut masih belum berada dalam tanggungan pembeli selagi ia belum diterima. Oleh itu, dia tidak berhak menjualnya. Diriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. berkata, Nabi S.A.W. bersabda :
مَنِ ابْتَاعَ طَعَامًا؛ فَلَا يَبِعْهُ حَتَّى يَقْبِضَهُ
Sesiapa yang membeli sesuatu makanan, maka janganlah dia menjualnya sebelum dia menerimanya.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya :
Apa yang dilarang oleh Nabi S.A.W. ialah makanan yang dijual sebelum diterima. Ibnu Abbas r.a. berkata : “Saya merasakan semua benda termasuk dalam larangan itu”.
           
            Hukum ini adalah jika barangan tersebut dijual kepada orang lain bukan kepada penjual yang pertama. Jika barangan tersebut dijual semula kepada penjual pertama, ia tetap tidak sah jika dijual dengan harga yang berbeza dengan harga pertama atau nilai yang seumpama dengannya kerana jualan ini termasuk dalam jualan yang dilarang.
            Walau bagaimanapun, jika barangan tersebut dijual kepada penjual asal dengan harga yang sama ketika dibeli atau nilai yang sama jika harga asal tadi tiada, jualan ini sah kerana jualan ini seolah-olah pembatalan kepada jualan pertama dan bukan jualan baru, walaupun urusan ini dilakukan dalam bentuk jual beli.


JUAL BELI YANG DIHARAMKAN TETAPI SAH

            Jual beli yang dilarang oleh nas bukan kerana tidak menepati rukun-rukun atau syarat-syarat, tetapi kerana sebab-sebab lain. Oleh itu, jual beli ini sah walaupun jelas diharamkan dan pelakunya dianggap melakukan dosa. Jual beli tersebut adalah seperti berikut:

1. Jual beli musorrah  (بَيْعُ المُصَرَّاةِ)

            Musorrah ialah unta atau lembu atau kambing yang secara sengaja tidak diperah susunya selama beberapa hari bertujuan mengumpulkan susunya di dalam pundi susu. Dengan itu pembeli menyangka susunya sentiasa banyak dan ini boleh menarik minat pembeli untuk membeli. Malah berkemungkinan pembeli bersedia membayar dengan harga yang lebih tinggi.

            Apabila jual beli berlangsung, kontrak tersebut sah tetapi diharamkan kerana wujud unsur penipuan dan pemalsuan. Jika pembeli mengetahui kedudukan sebenar, dia berhak memulangkan semula belian tersebut serta-merta kerana belian tersebut termasuk dalam hukum khiyar dan boleh dipulangkan kerana kecacatan tertentu. Jika pembeli memulangkannya, dan sebelum itu dia telah memerah susunya, dia hendaklah memulangkannya bersama-sama dengan segantang buah tamar sebagai ganti kepada susu yang telah diperah atau dia boleh memulangkan semula susu yang telah diperah atau dia boleh memulangkan semula susu yang telah diperah tadi jika dipersetujui oleh penjual.

            Jika pembeli bersetuju membeli kambing tersebut walaupun tahu penjual telah melakukan musorrah, dia tidak perlu memulangkannya.

            Dalil hukum ini ialah hadis Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda :
لَا تُصَرُّوا الْإِبِلَ وَالْغَنَمَ. وَمَنِ ابْتَاعَهَا بَعْدَ ذلِكَ؛ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ بَعْدَ أَنْ يَحْلُبَهَا: إنْ رَضِيَهَا؛ أَمْسَكَهَا. وَإِنْ سَخِطَهَا؛ رَدَّهَا وَصَاعًا مِنْ تَمْرٍ.
Janganlah kamu mengumpulkan susu unta dan kambing tanpa diperah (bagi memperdaya pembeli). Sesiapa yang membelinya selepas itu, maka dia boleh memilih yang terbaik daripada dua pilihan selepas dia memerahnya. Jika dia bersetuju, dia boleh terus mengambilnya. Jika dia tidak menyukainya, dia boleh memulangkannya bersama segantang kurma.

            Selain unta dan kambing, haiwan-haiwan lain juga termasuk dalam hukum ini, jika ia melibatkan perkara yang sama terutamanya haiwan-haiwan yang boleh di makan .


2. Najasy / Menjuak (بَيْعُ النَجْشِ)

            Najasy  ialah orang yang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya. Tujuannya supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal. Najasy pada asalnya bermaksud menyembunyi kerana perbuatan orang ini menyembunyikan niatnya.

            Perbuatan ini adalah haram berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.huma., katanya :
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَنِ النَّجْشِ
Nabi S.A.W. telah melarang jual beli najasy’.
            Jika jual beli tersebut berlangsung, ia tetap sah.

            Jika terdapat bukti perbuatan tersebut adalah hasil perancangan penjual dan penjuak, mereka berdua telah melakukan perkara yang haram. Penjual dianggap telah menipu pembeli dan dengan itu pembeli berhak menuntut khiyar. Jika tiada bukti penjual dan penjuak merancang perbuatan tersebut, pembeli tidak berhak menuntut khiyar kerana dia sendiri cuai membuat penelitian.



3. Penjualan barangan orang kampung  oleh orang tempatan

            Apabila orang kampung tiba membawa barangan untuk dijual apatah lagi barangan tersebut amat diperlukan oleh penduduk tempatan, lalu datang seorang penduduk tempatan berkata kepada orang kampung itu : Jangan jual barangan itu tetapi serahkan kepada saya untuk saya jualkan sedikit demi sedikit. Orang ini kemudiannya menaikkan harga barangan tersebut.

            Perbuatan ini adalah haram berpandukan hadis Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Jangan orang tempatan menjualkan barangan orang kampung.” Ibnu Abbas ditanya, “Apakah maksud sabda Baginda ; Jangan orang tempatan menjualkan barangan orang kampung.” Ibnu Abbas berkata, “Jangan jadi orang tengah.”

            Punca perbuatan ini dilarang dan diharamkan kerana perbuatan ini menyulitkan orang ramai. Namun perlu diingatkan di sini, hukum ini tidak melibatkan apa yang dilakukan oleh orang tengah pada hari ini yang menjualkan barangan yang diambil daripada pengusaha dan dibawa ke bandar. Ini kerana tidak wujud rungutan yang mendakwa amalan ini menyulitkan orang ramai. Malah perbuatan ini boleh memudahkan perngusaha dan juga pengguna.




4. Memintas perdagangan

            Dalam masalah ini, peniaga berangkat ke luar kawasan, dan bertemu para pedagang yang bakal datang ke kawasannya. Dia memperdayakan mereka dengan mengatakan barangan yang bakal mereka jual sudah bertimbun di kawasannya dan dijual dengan harga yang rendah. Perbuatan peniaga ini bertujuan membeli barangan tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga asal.

            Jika peniaga berjaya membeli barangan tadi, jual beli tersebut sah tetapi haram kerana wujudnya unsur penipuan. Pengharaman ini berpandukan sabda Nabi S.A.W. dalam hadis Ibnu Abbas r.a. sebelum ini :
لَا تَتَلَقَّوا الرُّكْبَانَ
Janganlah kamu memintas pedagang-pedagang.

            Apabila para pedagang tadi tiba ke kawasan perniagaan dan mengetahui harga pasaran yang sebenar selain menyedari mereka telah ditipu, mereka berhak menuntut khiyar dan membatalkan jual beli tadi.

            Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata :
Nabi S.A.W. melarang manusia memintas dagangan, jika ia dipintas oleh seseorang dan orang ini membelinya maka pemilik barangan tadi berhak menuntut khiyar jika dia tiba di pasar.

oleh : Nur Awanis binti Mohd Nordin 
                (10BI01030)

0 comments:

Post a Comment