(10BI01017 ) SMSU (A)
3. SYARAT YANG PERLU DI LAKSANAKAN
Syarat yang perlu dilaksanakan ialah sebarang syarat yang di tetapkan bertujuan mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan mengesahkan hak pihak yang terbabit. Contohnya syarat yang menetapkan perlu disertakan gadaian atau penjamin atau saksi bagi kontrak tersebut, atau kontrak tersebut mesti disokong oleh hakim atau wujud catatan bagi hutang tersebut. Semua syarat seperti ini dibenarkan. Pemiutang berhak meletakkan syarat-syarat seperti ini kerana syarat-syarat ini mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan bukan sebagai syarat tambahan.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a.;
وَلَقَدْ رَهَنَ النَّبِيُّ دِرْعًا لَهُ بِالْمَدِينَةِ عِنْدَ يَهُودِيٍّ، وأَخَذَ مِنْهُ شَعِيرًا لِأَهْلِهِ.
“Demi Allah, sesunguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah menggadaikan sebuah baju besi miliknya di Madinah kepada seorang Yahudi, dan baginda mengambil daripada Yahudi itu barli untuk keluarga baginda. ( Al-bukhari, Jual beli,Bab jual beli Nabi Muhammad s.a.w secara berhutang, no. 1963 )”
Penghutang perlu memenuhi syarat-syarat ini dan jika tidak dipenuhi, pemiutang boleh membatalkan kontrak tersebut.
ANUGERAH (HIBAH)
TAKRIF
Hibah ( الْهِبَةُ ) atau anugerah daripada segi bahasa ialah suatu pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan pemberian ini memberi manfaat kepada penerima. Berdasarkan kepada makna ini, anugerah boleh merujuk kepada benda dan bukan benda.
Di antara ayat yang menyebut tentang anugerah berbentuk benda ialah firman Allah:
يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ } {
“Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya.”
(Asy-Syura:49)
الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ } {
“Segala pujian adalah milik Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua akan Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenankan doa.”
(Ibrahim : 39)
Sementara ayat yang menyentuh tentang anugerah berbentuk bukan benda, antaranya firman Allah:
“Dan kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi-Mu.”
(Al-Imran: 8)
{ وَامْرَأَةً مُّؤْمِنَة إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا }
“Dan kami juga halalkan bagimu, wahai Muhammad, mana-mana perempuan yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin), jika nabi mahu berkahwin dengannya.”
(Al-Ahzab:50)
Ayat ini bermaksud, wahai Muhammad, engkau dibenarkan mengahwini wanita beriman yang menyerahkan urusan perkahwinannya kepada engkau. Jika engkau setuju mengahwininya tanpa mahar, engkau dibenarkan melakukannya.
Ada pendapat mengatakan perkataan hibah ini pada asalnya bermakna tiupan angin yang juga bermaksud suatu pemberian.
Ada pendapat yang mengatakan hibah bermakna orang yang bangun daripada tidur seolah-olah pelakunya bangun daripada tidur dan terkejut menerima pemberian.
Menurut istilah syarak, anugerah atau hibah ialah suatu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Dengan ini, anugerah merujuk kepada pemindahan hak milik barangan yang dianugerahkan kepada penerima anugerah. Manakala penerima pula tidak perlu membalas dengan barangan yang seumpama dengannya. Dengan ini, anugerah berbeza dengan jual beli yang merupakan suatu proses pemindahan hak milik untuk sesuatu gantian.
Selain itu, pemindahan hak milik ini juga berlaku ketika masih hidup. Dengan ini anugerah berbeza dengan wasiat yang juga merupakan pemindahan hak milik bukan untuk sesuatu gantian tetapi dilaksanakan selepas kematian.
Anugerah juga berbeza dengan zakat yang merupakan suatu proses pemindahan hak milik yang diwajibkan ke atas pembayaran zakat sementara anugerah ialah pemindahan hak milik secara sukarela.
Berdasarkan kepada takrif ini, terdapat persamaan antara anugerah dengan hadiah dan sedekah iaitu kedua-dua amalan ini bermaksud memindahkan hak milik sesuatu barangan bukan untuk sesuatu gantian pada masa hayat dan secara sukarela. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan antara ketiga-tiga amalan ini daripada segi makna dan hukum.
Anugerah berdasarkan takrif di atas lebih bersifat umum, ia berlaku sama ada antara si kaya kepada si miskin atau sebaliknya, dilakukan untuk beroleh pahala atau tidak, barangan yang dianugerahkan dipindahkan kepada penerima atau pun tidak.
Sementara sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala.
Hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi. Biasanya membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima.
Perbezaan antara sedekah dan hadiah dapat difahami melalui sabda Rasulullah s.a.w ketika Baginda meminta diberi makan daging yang Baginda lihat sedang dimasak. Lalu Baginda diberitahu: “Daging ini diberikan sebagai sedekah untuk Barirah”. Namun Baginda bersabda:
هُوَ عَلَيْهَا صَدَقَةٌ، وَهُوَ لَنَا هَدِيَّةُ.
“Daging ini sedekah baginya, tetapi ia adalah hadiah bagiku.”
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maknanya niat ketika memberi berbeza-beza dan dengan itu nama dan hukum turut berbeza.
Atas dasar inilah Nabi s.a.w menerima dan makanan yang dihadiahkan tetapi Baginda tidak makan makanan yang disedekahkan. Al-Bukhari dan Muslim (lafaznya daripada Muslim) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a;
“Setiap kali nabi s.a.w. dihidanglan makanan, baginda akan bertanya mengenainya. Jika dijawab ia adalah hadiah, Baginda akan makan dan jika dijawab adalah sedekah, Baginda tidak akan memakannya”.
Dalam kontrak anugerah perlu wujud penawaran dan persetujuan (ijab dan qabul). Ini akan dibincangkan nanti, tetapi perkara ini tidak wujud dalam sedekah atau hadiah.
Berkenaan dengan sedekah, banyak riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat banyak bersedekah tetapi tidak disebutkan bahawa wujud penawaran dan persetujuan (ijab dan qabul) antara orang yang bersedekah dengan orang yang menerima sedekah.
Berkenaan dengan hadiah pula,disahkan bahawa beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w sentiasa berusaha memberikan hadiah mereka ketika giliran Rasulullah s.a.w bersama Aisyah r.a. Namun demikian tiada riwayat yang mengatakan wujud penawaran dan persetujuan antara mereka dengan Aisyah r.a atau antara mereka dengan Baginda.
KESAHIHAN MENURUT SYARAK
Anugerah atau hibah yang dinyatakan dengan maksud yang umum sepertimana yang dibincangkan tadi adalah amalan yang digalakkan. Ini dinyatakan oleh Kitab Allah, sunnah dan ijmak.
1. KITAB ALLAH
Firman Allah Taala:
وَآتُواْ النَّسَاء صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا } {
“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu akan mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian, jika mereka dengan suka hati memberi kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
(An-Nisa’:4)
Maksudnya; apabila isteri-isteri kamu dengan sukarela memberikan kepada kamu sebahagian mahar mereka yang telah kamu berikan kepada mereka kerana menunaikan hak mereka, apa sahaja yang dianugerahkan kepada kamu itu adalah baik dan halal. Makanlah dengan senang hati dan seronok. Tidak salah kamu memakannya dan kamu tidak akan dipersalahkan untuk mengambilnya.
{ لَيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِى الرِّقَابِ }
“Kebajikan (yang sebenar) bukanlah (dengan cara) kamu menghadapkan muka kamu ke arah timur dan barat (sebagaimana yang didakwa oleh kaum Yahudi dan Nasrani). Tetapi (pemilik) kebajikan (yang sebenar) ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, Hari Terakhir, para malaikat, segala kitab dan para Nabi; serta mengeluarkan harta, sedangkan dia menyayanginya, kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang musafir yang terputus bekalan, orang-orang yang meminta, dan untuk kemerdekaan hamba abdi.”
(Al-Baqarah:177)
Ayat ini merangkumi pemberian kepada orang yang memerlukan dan yang tidak memerlukannya. Pemberian kepada yang memerlukan adalah sedekah dan yang tidak memerlukannya ialah anugerah.
2. SUNNAH
Banyak hadis yang menyatakan kesahihan kontrak anugerah. Diantara hadis tersebut ialah:
i. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah r.a bahawa dia berkata:
قد كان لرسول الله جيران من الأنصار، كانت لهم منائح. وكانوا يمنحون رسول الله من ألبانهم، فيسقينا.
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ada beberapa orang jiran daripada kalangan Ansar, yang mempunyai unta atau kambing yang bersusu. Mereka selalu memberi susu kepada Rsulullah s.a.w, lalu Baginda memberi kami minum daripadanya."
Manaih ialah jamak manihah, iaitu pemberian atau hadiah. Maksudnya di sini ialah unta atau kambing yang mempunyai susu (yang diberikan kepada orang lain)
ii. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
يا نساء المسلمات ! لا تحقرن جارة لجارتها، ولو فرسن شاة.
“Wahai wanita-wanita muslimat! Janganlah seorang jiran wanita menghina (hadiah atau pemberian) jirannya, walaupun hanya kuku kambing “
Hadis ini bermaksud janganlah dia memperkecilkan pemberian jirannya sehingga sanggup menolaknya walaupun pemberian itu hanyalah berupa firsin, iaitu bahagian pergelangan kaki ke bawah di kaki hadapan kambing. Pendapat lain mengatakan firsin ialah tulang yang kurang daging. Ataupun maksudnya ialah janganlah seseorang itu merasa rendah diri hingga perasaan itu menghalang untuk dia menghadiahkannya kepada jiran. Sebaliknya hendaklah dia tetap menghulurkannya kerana cara ini akan mengeratkan kemesraan.
iii. Hadis riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w bersabda:
لو دعيت ألى ذراع أو كراع، لأجبت. ولو أهدي إلى ذراع أو كراع، لقبلت.
"Jikalau saya dijemput untuk makan lengan atau betis (kambing dan sebagainya), nescaya saya akan menyahut jemputan itu. Jikalau lengan atau betis (kambing dan sebagainya) dihadiahkan kepadaku, nescaya saya akan menerimanya.
0 comments:
Post a Comment