Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Barangan yang tidak dapat dinyatakan spesifikasinya. ( ms 33-35 )

Barangan yang tidak dapat dinyatakan spesifikasinya.

Barangan jenis ini tidak dibenarkan dan tidak sah untuk dijual beli salam. Ini kerana membuat kontrak untuk barangan yang tidak diketahui  adalah tindakan yang salah dan boleh membawa kepada perbalahan.
Di sini para fuqaha telah membuat beberapa contoh diantaranya ialah :
·         Kulit – kulit adalah berbeza-beza dari segi tebal dan nipis sedangkan ia adalah aspek utama dalam jual beli kulit.
·         Batu Permata – harga permata adalah berbeza mengikut bentuk dan sifat-sifatnya dan perkara ini tidak dapat dinyatakan spesifikasinya dengan jelas.
·         Makanan yang penyediaannya melibatkan penggunaan api sama ada dipanggang, digoreng atau dimasak. Kerana penggunaan api memberi kesan yang berbeza dan sudah tentu tidak dapat dinyatakan dgn jelas. Kecuali bagi barangan yang dibakar dgn tujuan untuk memisahkannya, kerana kesan pembakaran tersebut terlalu kecil.
o   Minyak sapi yang dibakar untuk tujuan memisahkannya daripada susu.
o    Madu yang dibakar untuk memisahkannya daripada sarangnya.

b. Barangan tersebut mestilah dikenalpasti jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua2 pihak.

·         Jenis : gandum atau barli.
·         Kualiti : tempatan atau import
·         Jumlah : 1000 gantang ikut sukatan atau mengikut timbangan jika boleh ditimbang, mengikut bilangan jika boleh dikira atau dengan ukuran sekiranya boleh diukur.
·         Sifat : contohnya dinyatakan dengan warna, ukiran atau acuan, tebal atau nipis, atau sifat lain yang berbeza-beza mengikut kehendak pengguna.
Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
            “barangsiapa yang berjual beli salaf (salam), hendaklah dia berjual beli salaf dengan ukuran yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan sehingga tempoh yang dimaklumi”
            Perkara-perkara yang boleh digunakan bagi mengenalpasti barangan yang dijual boleh diqiaskan di  sini
c. barangan tersebut tidak bercampur aduk dengan barang yang berlainan jenis.

            Contohnya makanan yang bercampur aduk dengan barli dan sebagainya. Ataupun minyak wangi  yang bercampur antara kasturi, anbar dan sebagainya.  Sedangkan kadar campuran tersebut tidak diketahui dengan jelas.
            Jika kandungan campuran dan kadar setiap campuran boleh diketahui dengan jelas, jual beli salam adalah sah. Contohnya, pakaian yang diperbuat daripada bulu dan kapas, dan kadar campuran bulu dan kapas ada dinyatakan dgn jelas.
            Termasuklah dalam barangan yang sah dijual beli secara salam, barangan yang dicampur dangan bahan tertentu untuk kepentingan dan supaya tahan lama. Contohnya, keju yang diproses dengan mencampur garam dan renit dalam susu. Barangan ini boleh dijual beli secara salam.

d. Barang tersebut mestilah diperhutangkan, iaitu barangan dalam tanggungan (zimmah) yang hanya dinyatakan sifat tanpa merujuk kepada barangan tertentu.

            Contohnya, pembeli membayar RM1000 untuk membeli 100 helai baju dengan spesifikasi yang tertentu. Jika pembeli berkata, “saya bayar secara jual beli salam sebanyak RM1000 untuk 100 helai baju ini”, iaitu pakaian yang telah siap dan berada dihadapannya,jual beli salam itu tidak sah. Sebab, jual beli salam disyariatkan bagi jual beli barang dalam tanggungan yang hanya dinyatakan sifatnya sahaja dan lafaz kontrak hendaklah merujuk kepada maksud ini.
            Lafaz kontrak seperti contoh diatas tidak menjadikan jual beli salam. Ini adalah kerana lafaz kontrak jual beli salam hendaklah menunjukkan bahawa barangan yang dijual adalah dalam bentuk hutang. Sedangkan ungkapan “100 helai baju ini” menunjukkan barangan yang dijual bukan hutang.
dengan ini wujud percanggahan dalam lafaz kontrak sekaligus bermakna kontrak tersebut tidak sah.


e. Barang tersebut mampu diserahkan

Barang tersebut mampu diserahkan, berdasarkan tempoh dan jenis yang ditetapkan. Dan menurut sangkaan berat, jenis yang ditetapkan itu akan wujud pada masa yang ditetapkan. Jika jual beli salam tersebut membabitkan barangan yang biasanya tidak wujud pada masa yang ditetapkan, contohnya buah anggur dalam musim sejuk atau buah kurma atau sebagainya, maka jual beli salam itu tidak sah.

            Jika barangan yang dijual secara jual beli salam mudah didapati, tetapi tidak berjaya diperolehi pada masa yang ditetapkan, perjanjian (al-Salam) tersebut tidak terbatal. Pembeli boleh membuat pilihan samaada menunggu sehingga barang yang ditempah wujud atau membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil semula modal atau harga yang telah dibayar, tanpa kurang dan lebih.

f.  Tempoh penyerahan perlu ditetapkan.

Tempoh penyerahan perlu dihadkan dalam tempoh tertentu yang dimaklumi bersama. Contohnya pembeli berkata : “Saya serahkan RM 1,000.00 untuk 10 helai baju yang mempunyai spesifikasi seperti berikut dengan syarat anda serahkan barangan tersebut kepada saya selepas sebulan dari tarikh kontrak ini atau pada awal bulan hadapan”. Jika tiada sebarang tempoh yang dinyatakan atau ada tempoh dinyatakan tetapi tidak dinyatakan dengan tepat, contohnya pembeli berkata : “Barangan tersebut hendaklah diserahkan pada masa si fulan pulang dari musafirnya.” Maka kontrak ini tidak sah kerana tempoh di sini tidak dinyatakan dengan jelas. Ini kerana masa si fulan itu kembali tidak diketahui dengan tepat. Akibatnya akan berlaku perselisihan dan perbalahan tentang tempoh yang dimaksudkan oleh kedua-dua pihak.
Dalil dalam perkara ini ialah hadith Nabi saw yang bermaksud :
 “Hingga ke tempoh yang dimaklumi.”
Jika penjual membawa barang yang ditempah sebelum tempoh yang ditetapkan, pembeli boleh mengambil barang tersebut dengan syarat tiada sebarang perbelanjaan atau bebanan yang perlu ditangung dalam baki tempoh yang dipersetujui. Pembeli juga tidak mempunyai alasan untuk tidak menerimanya. Namun jika barangan tersebut mempunyai sebab yang dibenarkan syara’ untuk pembeli tidak menerimanya awal dari waktu yang telah ditetapkan, seperti memerlukan tempat penyimpanan dan pembeli ketiadaan tempat, atau barangan tersebut adalah haiwan yang perlu diberikan makan, atau ketika itu berlaku banyak kes rompakan dan pembeli bimbang keselamatan barangnya. Maka pembeli tidak boleh dipaksa untuk menerima barang tersebut dan dia berhak menolaknya.

7- Tempat penyerahan perlu ditetapkan.

Ini jika tempat berlaku kontrak tidak sesuai untuk dijadikan tempat penyerahan, ataupun sesuai, tetapi penghantarannya memerlukan perbelanjaan. Jika tempat tersebut sesuai untuk penyerahan dan penghantarannya tidak memerlukan perbelanjaan, tempat itu boleh dijadikan tempat penyerahan dengan syarat tiada tempat penyerahan lain yang dicatatkan dalam kontrak. Jika kedua-dua pihak bersetuju menjadikan tempat lain sebagai tempat penyerahan, penyerahan hendaklah dilakukan disitu. Jika berlaku perselisihan dalam soal ini, perlu dirujuk kepada amalan setempat yang diguna pakai.


pembentang :
Muhammad Anis Bin Mohd
10BI01024 / SMSU 4A

Implikasi Hutang ( ms 66-68 )

Implikasi Hutang
                Apabila sesuatu hutang dibenarkan, implikasinya ialah hak milik barangan tersebut akan berpindah daripada pemiutang kepada penghutang. Ketika itu penghutang perlu memulangkan semua barangan yang seumpama dengannya apabila diminta oleh pemiutang. Adakah peralihan hak milik ini bermula dengan penerimaan barangan yang dihutang atau setelah ia digunakan?
                Menurut pendapat yang paling sahih (asah), penghutang memperolehi hak milik barangan yang dihutang ketika penerimaan. Ini kerana ulama sependapat penghutang boleh menggunakan barangan tersebut sebaik sahaja menerimanya. Ia menunjukkan hak miliknya telah disahkan sebelum penggunaan tersebut. Jika dia tidak memiliki hutang tersebut pada ketika menerimanya, sudah tentu dia tidak berhak menggunakannya.
                Dengan ini, setelah selesai kontrak hutang dan penghutang telah menerima hutang tersebut, menurut satu pendapat, pemiutang tidak berhak menarik balik hutang tersebut kecuali dengan persetujuan penghutang. Walau bagaimanapun dia berhak meminta bayaran semula hutang yang seumpama dengannya kerana bayaran semula ini wajib mengikut kontrak hutang.
                Tetapi menurut pendapat yang paling sahih (asah), dalam kes ini, pemiutang berhak menarik balik hutang tersebut jika barangan tersebut masih kekal seperti sedia kala dan tidak membabitkan hak orang lain. Hukum ini tidak bercanggah dengan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang terhadap barangan yang dipinjam sebaik selepas menerimanya. Ini kerana walaupun demikian pemiutang masih berhak menuntut semula hutang daripada penghutang jika barangan tersebut hilang. Ini bermakna, meminta semula hutang yang masih wujud sudah tentu lebih patut kerana ia lebih mudah. Dengan ini, penghutang wajib memulangkan semula barangan tersebut jika diminta oleh pemiutang.
Walau bagaimanapun, jika barangan tersebut masih wujud tetapi keadaannya telah berubah, contohnya kambing yang telah disembelih atau gandum yang telah dikisar atau pun ia telah membabitkan hak orang lain, contohnya ia telah dijadikan sebagai gadaian oleh penghutang, dalam kes ini pemiutang tidak berhak meminta semula hutang asal tadi.
Namun jika penghutang hanya menyewakan barangan tersebut kepada orang lain, pemiutang masih berhak memintanya semula. Berbeza dengan barangan yang digadaikan, kerana penerima gadaian mempunyai hak terhadap barangan yang digadai. Sebaliknya penyewa tidak mempunyai hak yang sama.
Selain itu, pemiutang juka berhak meminta semula hutang walaupun wujud penambahan yang dilakukan pada barangan sama ada penambahan tersebut bercantum atau berasingan. Ini kerana benda yang bercantum perlu mengikut asalnya. Bagi yang berasingan pula, sudah tentu tidak menghalang barangan asalnya dipulangkan. Walau bagaimanapun penghutang memegang hak milik tambahan yang wujud kerana pertambahan ini berlaku ketika barangan tersebut dalam hak miliknya.
Ulama sependapat, penghutang berhak memulangkan semula hutang (barang yang sama) kepada pemiutang dan pemiutang tidak berhak menuntut ganti lain yang seumpama atau yang sama nilai dengannya.
Menurut pendapat kedua tentang peralihan hak milik ini, penghutang tidak mempunyai hak milik ke atas hutang kecuali setelah barangan tersebut digunakan dengan cara yang menunjukkan berlaku peralihan hak milik. Contohnya barangan tersebut dihadiahkan atau dijual beli atau dirosakkan atau digunakan. Ini kerana, hak milik dapat disahkan melalui tindakan seperti ini. Juga kerana pemiutang masih berhak meminta semula barangan tersebut sebelum itu dan penghutang juga berhak memulangkannya. Jika barangan tersebut dianggap sebagai hak milik penghutang ketika menerimanya, kedua-dua pihak tidak berhak membatalkan hak milik tersebut. Kedua-dua pihak juga tidak berhak memulangkan atau meminta semula barangan tersebut.
Ini bermakna, pemiutang berhak meminta semula hutang selagi ia berada di tangan penghutang (seperti yang dinyatakan di atas) kerana ia masih menjadi miliknya dan masih belum menjadi hak milik penghutang.
Kesan daripada perbezaan pendapat ini dapat dilihat dengan jelas apabila hutang tersebut memerlukan perbelanjaan ataupun ia mengeluarkan hasil. Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik penghutang selepas barangan tersebut diterima, penghutang perlu mengeluarkan perbelanjaan dan dia berhak memperolehi sebarang hasil sebaik sahaja menerimanya. Walaupun dia masih belum menggunakannya.
Berdasarkan pendapat yang mengesahkan hak milik hanya selepas penggunaan pula, perbelanjaan tersebut akan ditanggung oleh pemiutang. Begitu juga, segala hasil yang diperolehi dalam tempoh barangan tersebut diterima dan sebelum digunakan oleh penghutang adalah haknya.
Bayaran Hutang  
                Sepertimana yang kita maklum, barang yang dipinjam mestilah barangan mithli atau barangan qiymi dengan spesifikasi yang dinyatakan. Atas dasar ini :
                Pembayaran hutang perlu menggunakan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tidak, ia wajib dibayar dengan barangan yang sama nilai.
                Jika hutang tersebut ialah barangan qiymi, pembayaran perlu menggunakan barangan yang sama dengannya. Contohnya, penghutang berhutang seekor kambing, dia perlu membayar semula seekor kambing yang sama sifat-sifatnya. Pendapat ini berpandukan hadis Abu Rafi’ r.a. yang dinyatakan sebelum ini. Dalam hadis tersebut, Rasulullah s.a.w mengarahkannya supaya membayar hutang Baginda iaitu unta muda dengan unta muda kepada lelaki pemiutang itu.
                Pendapat lain mengatakan, hutang bagi barangan qiymi perlu di bayar menggunakan barangan yang sama nilai dengannya. Alasannya ialah, barangan mithli perlu dibayar dengan barangan yang sama dengannya jika ada. Jika tiada, ia perlu dibayar dengan barangan yang sama nilai dengannya.
                Bagi pendapat yang mengatakan pembayaran balik mesti dibayar dengan barangan yang sama nilai, mereka mengatakan :
                Pembayaran balik mesti berdasarkan nilai pada masa penerimaan. Pendapat ini berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik pada masa penerimaan. Ini adalah pendapat yang paling sahih (asah).
                Berdasarkan pendapat yang mengatakan hutang tersebut bertukar hak milik apabila digunakan, pembayaran balik mesti berdasarkan nilai tertinggi sepanjang tempoh penerimaan hingga penggunaan.
                Jika pemiutang dan penghutang tidak sependapat dalam menentukan nilai yang sebenar atau ciri ciri barangan yang sama dengannya, pengakuan yang diterima ialah pengakuan penghutang yang perlu disertakan dengan sumpah. Sebabnya, dia adalah orang yang didakwa dan akan menanggung bayaran balik sama ada dalam bentuk sama nilai atau sama padan.
Bilakah Hutang Dituntut?
                Pemiutang berhak menuntut penghutang membayar semula hutang pada bila-bila masa selepas penghutang menerima barangan tersebut. Ini kerana menurut hukum hutang, penghutang diwajibkan memulangkan semula hutang pada ketika pemiutang menuntutnya semula. Alasannya, kontrak ini tidak boleh membabitkan bayaran tambahan dan dengan itu tidak boleh membabitkan tempoh tertentu.
                Hukum ini digunapakai sama ada dalam kontrak ada ditetapkan tempoh tertentu untuk membuat pembayaran ataupun tidak ditetapkan. Sama ada wujud amalan tertentu (uruf) yang digunapakai ketika itu ataupun tidak.
Syarat Hutang :
                Kadang kala kontrak hutang dikaitkan dengan beberapa syarat. Sesetengah syarat ini menyebakan kontrak tersebut terbatal. Sesetengahnya pula tidak membawa apa-apa implikasi kepada hutang tersebut. Sesetengahnya perlu dilaksanakan. Keterangannya adalah seperti berikut :
                1. Syarat yang Boleh Membatalkan Kontrak Hutang
                Semua syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan memberi keuntungan kepada pemiutang. Contohnya pemiutang memberikan hutang dengan syarat tedapat bayaran tambahan, atau dengan syarat penghutang pulangkan barangan yang baik sebagai ganti kepada barang yang tidak baik, atau dengan syarat penghutang menjualkan kepadanya rumahnya. Ini adalah contoh syarat yang tidak sah dan membatalkan kontrak hutang. Hukum ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w :
                “Semua hutang yang membawa keuntungan adalah riba.”
                Menurut kitab Mughni al-Muhtaj, walaupun hadis ini daif , tetapi al-Baihaqi telah meriwayatkan hadis ini daripada beberapa orang sahabat.
                Menurut kitab al-Muhazzab, diriwayatkan bahaya Ubai bin Kaab, Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Abbas telah melarang semua jenis hutang yang membabitkan keuntungan.
                Apa yang ditekankan di sini ialah, sesuatu hutang pada dasarnya diberikan kerana didorong oleh rasa belas ehsan dan keinginan untuk membantu penghutang. Namun apabila pemiutang meletakkan syarat yang membawa keuntungan iaitu bayaran tambahan lebih daripada kadar hutang, ini bermakna hutang ini telah terkeluar daripada tujuan asalnya. Oleh itu, hutang seperti ini tidak sah.
                Ada diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda :
                “Tidak halal (bercampur tujuan dalam) kontrak hutang dan jual beli.”
                Sebelum ini telah dibincangkan, kalimah salaf bermaksud hutang menurut bahasa penduduk Hijaz sepertimana dalam hadis di atas.
                Selain itu, sepertimana yang kita maklum, kontrak yang tidak menepati syarat akan menyebabkan jual beli tersebut tidak sah dan dengan ini ia tidak membabitkan sebarang implikasi.
                Keuntungan yang Tidak Disyaratkan
                     Apabila penghutang membayar hutang lebih daripada hutang asal, ataupun penghutang memberikan hadiah sebagai tambahan kepada bayaran hutang tanpa pemiutang tebabit meletakkannya sebagai syarat dalam kontrak dan bukan menjadi amalan yang digunapakai (uruf), apakah hukum tindakan ini? Beberapa perkara perlu dilihat :
i. Jika manfaat tersebut diberikan sebelum hutang dibayar sepenuhnya, adalah lebih baik jika ia ditolak. Kecuali jika amalan bertukar-tukar manfaat tersebut telah menjadi kebiasaaan kedua-dua pihak sebelum kontrak hutang dilakukan.
Pendapat ini berpandukan hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a. yang pernah ditanya :
Seorang lelaki di kalangan kami telah memberikan suatu barangan sebagai hutang kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberikannya hadiah. Anas menjawab : Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Apabila seseorang di kalangan kamu memberikan hutang, lalu orang yang berhutang memberikannya hadiah atau orang itu membawanya menaiki kenderaannya, janganlah dia naik atau menerimanya kecuali jika perbuatan itu telah pun biasa berlaku antara mereka sebelum itu.”
     Hukum makruh ini juga akan dikecualikan jika pemiutang turut memberi hadiah kepada penghutang sebagai membalas (mengimbangi) manfaat yang diberikan oleh penghutang.
ii. Jika manfaat tersebut (bayaran tambahan atau hadiah atau sebagainya) diberikan selepas hutang dibayar, tindakan ini tidak salah dan pemiutang tidak dimakruhkan untuk mengambilnya kerana hutang tersebut telah selesai dibayar. Malah, penghutang digalakkan berbuat demikian kerana mencontohi perbuatan dan juga perintah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh umat Islam membayar hutang mereka dengan cara yang terbaik. Perbuatan ini adalah salah satu perbuatan yang baik.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Jabir r.a berkata :
Suatu ketika saya datang menemui Nabi s.a.w.. Ketika itu Baginda berhutang dengan saya, lalu Baginda membayar hutangnya dan Baginda membayar lebih kepada saya.”
     Telah dinyatakan sebelum ini bagaimana Nabi s.a.w mengarahkan sahabat supaya membayar unta rabaie sebagai ganti kepada unta muda. Baginda bersabda ketika itu :
     “Manusia yang terbaik ialah manusia yang terbaik membayar hutangnya.”
     Walau bagaimanapun, perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat tindakan penghutang memulangkan hutang bersama bayaran tambahan atau memberikan sesuatu manfaat kepada pemiutang sebelum hutang sebenar dijelaskan tidak menjadi amalan (uruf) orang ramai. Selain itu, ia juga tidak menjadi amalan penghutang. Jika perbuatan tersebut menjadi amalan orang ramai atau menjadi amalan penghutang, mengikut pendapat yang kuat (aujah), makruh menerima manfaat ini kerana amalan ini boleh diibaratkan seperti syarat.
     2. Syarat yang Tidak Diterimapakai dan Tidak Membatalkan Kontrak Hutang
     Syarat-syarat yang tiada kena mengena dengan kontrak dan tidak membawa sebarang manfaat kepada kedua-dua pihak atau hanya memberi manfaat kepada penghutang. Contohnya, diletakkan syarat supaya penghutang memulangkan barangan yang cacat sebagai ganti kepada barangan yang sempurna, ataupun barangan yang tidak elok untuk barangan yang elok. Atau pun syarat kontrak mewajibkan penghutang meminjamkan pula barangan tersebut kepada orang lain.
     Syarat-syarat seperti ini tidak diterima pakai dan tidak perlu dilaksanakan.
     Pendapat yang paling sahih (asah) mengatakan syarat seperti ini tidak membatalkan kontrak kerana syarat-syarat seperti ini hanya mengukuhkan lagi hasrat asal hutang iaitu melahirkan simpati. Syarat-syarat seperti ini tidak sedikitpun membawa manfaat kepada pemiutang. Sebaliknya semua manfaat tersebut diperolehi oleh penghutang. Seolah-olah tindakan pemiutang lebih bertujuan membantu penghutang.
     Syarat Tempoh Tertentu
                Telah dibincangkan sebelum ini bahawa pemiutang berhak menuntut bayaran semula hutang pada bila-bila masa, tidak kira sama ada dinyatakan tempoh tertentu dalam kontrak ataupun tidak. Walau bagaimanapun jika terdapat tempoh tertentu yang dijadikan sebagai syarat tersebut dan syarat tersebut dianggap sebagai syarat yang tidak diterimapakai. Namun adakah syarat ini memberi kesan kepada kontrak tersebut? Beberapa perkara perlu dilihat :
i.              Jika tempoh yang ditetapkan adalah untuk manfaat pemiutang, contohnya jika waktu tersebut adalah musim rompakan dan pemiutang meletakkan tempoh tersebut dengan andaian dalam tempoh tersebut keadaan telah aman, syarat ini dikira telah membatalkan kontrak kerana syarat ini memberikan manfaat tambahan kepada pemiutang dan dianggap sebagai syarat tambahan kepada kontrak.
ii.             Jika syarat yang ditetapkan bukan untuk manfaat pemiutang, syarat tersebut tidak membatalkan kontrak dan tempoh tersebut tidak berkuatkuasa. Walau bagaimanapun digalakkan supaya tempoh tersebut dipenuhi kerana ia adalah janji yang membawa kepada kebaikan.
3. Syarat yang Perlu Dilaksanakan 
     Syarat yang perlu dilaksanakan ialah sebarang syarat yang ditetapkan bertujuan mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan mengesahkan hak pihak yang terbabit. Contohnya syarat yang meletakkan perlu disertakan gadaian atau penjamin atau saksi bagi kontrak tersebut, atau kontrak tersebut mesti disokong oleh hakim atau wujud catatan bagi hutang tersebut. Semua syarat seperti ini dibenarkan. Pemiutang berhak meletakkan syarat-syarat seperti ini kerana syarat-syarat ini mengukuhkan lagi kontrak tersebut dan bukan sebagai syarat tambahan.
     Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. :
     Nabi s.a.w. menggadaikan sebuah perisai miliknya di Madinah kepada seorang yahudi supaya Baginda memperolehi barli untuk keluarga Baginda.
     Penghutang perlu memenuhi syarat-syarat ini dan jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, pemiutang boleh membatalkan kontrak tersebut.
    
    

 pembentang :
Muhammad Firdaus Bin Firus
10BI01039 / SMSU 4A

SYARAT-SYARAT KHUSUS BAGI MEMBOLEHKAN TUKARAN MATAWANG ( ms 60-62)


SYARAT-SYARAT KHUSUS BAGI MEMBOLEHKAN TUKARAN MATAWANG
·         Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama jenis
Contohnya: emas dijual beli dengan emas atau perak dijual beli dengan perak. Kedua-dua barangan mesti sama dari segi berat sama ada dibentuk atau diacu atau sebagainya atau satu barang sahaja yang diacu atau dibentuk.
Jika kedua-dua barangan berlainan jenis, contohnya satu daripada perak dan satu daripada emas, kedua-dua barangan  ini boleh berlainan berat dan dijual mengikut andaian, maksudnya tanpa ditimbang. Contohnya, seorang penjual berkata: “Saya jual emas ini untuk perak ini.”. Jual beli ini dibenarkan.

·         Penyerahan serta merta
Syarat dalam tukaran matawang ialah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dinar, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam”. Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk anda.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya bersetuju”. Kontrak ini tidak sah.

·         Penyerahan dalam majlis kontrak
Dua pihak perlu bertukar barangan di dalam majlis kontrak sebelum berpisah. Sama ada barang itu sama jenis iaitu emas dengan emas, perak dengan perak atau berlainan jenis, contoh emas dengan perak.
Maksud bertukar-tukar tangan di sini ialah bertukar tangan secara perbuatan. Setiap pihak perlu serahkan barangan yang berada pada tangannya kepada pihak satu lagi. Jika dilepaskan hak milik tanpa diserahkan  dan tidak diterima oleh pihak satu lagi, kontrak itu tidak sah.
Maksud majlis di sini ialah pertemuan fizikal dan berpisah bermaksud berpisah secara fizikal. Jika dua pihak ini berjalan seiringan di dalam satu arah, majlis iti tidak akan tamat melainkan kedua pihak ini berjalan berlainan arah. Jika berpisah secara fizikal tetapi salah satu pihak tidak terima barang yang ditukar milik, kontrak itu tidak sah dan terbatal.


Syarat-syarat bertukar tangan ini dinyatakan di dalam sabda Nabi SAW:
ولا تبيعوا منها غائبا بناجز
Janganlah kamu menjual barang yang tidak ada dengan barang yang ada.

Demikian juga sabda baginda:
هاء وهاء
Kecuali ambil dengan ambil.

Dengan ini dapat difahami bahawa pertukaran matawang yang dilakukan oleh kebanyakan pihak hari ini tanpa bertukar-tukar tangan, sebaliknya hanya menggunakan talian telefon adalah kontrak tidak sah. Pendapatan melalui cara ini adalah pendapatan yang tidak bersih.

·         Kotrak tersebut mestilah muktamd (tanpa syarat)
Tiada syarat yang diletakkan untuk kedua-dua pihak atau salah satu pihak. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar matawang ini menetapkan syarat di mana salah satu pihak berhak menuntut khiyar dalam masa sehari atau dua hari atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut itu tidak sah. Hal ini adalah kerana syarat sah kontrak ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Sebaliknya hak khiyar menghalang pemilikan penuh oleh kedua-dua pihak. Oleh itu, tukar-menukar barangan sebenarnya tidak wujud kerana tidak wujud pemilikan penuh. Dengan ini tidak sah tukaran kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.




HUTANG (AL-QARDH)
Hutang dari segi bahasa: potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir, maksudnya saya memotong sesuatu.

Manakala dari segi istilah: memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Dalam bahasa arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada penghutang,

Dalam bahasa penduduk Hijaz, qardh dinamakan salaf. Dengan itu, kontrak ini sah dengan ungkapan “Saya berikan hutang”.

Pensyariatannya

Hutang dibenarkan dan bertepatan dengan syarak. Mereka yang memerlukannya dibenarkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta.

*       KITAB ALLAH

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), Maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”.
(Al-Baqarah:245)

Memberi pinjaman kepada Allah merangkumi sedekah dan hutang yang diberikan kepada manusia.


*        SUNNAH
-          Hadis Ibnu Mas’ud r.a., bahawa Nabi S.A.W bersabda:
ما من مسلم يقرض مسلما قرضا مرتين، إلا كان كصدقتها مرة
“Mana-mana orang Islam yang memberi hutang kepada seorang muslim sebanyak dua kali, nescaya hutang itu akan dikira sebagai sedekah yang diberikan kepadanya sebanyak dua kali.”


-          Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi S.A.W bersabda:
من أخذ أموال الناس يريد أداءها؛ أدى الله عنه. ومن أخذ يريد إتلافها؛ أتلفه الله
"Sesiapa yang mengambil harta benda orang lain dalam keadaan dia mahu membayarnya semula, maka Allah akan membayar untuknya. Sesiapa yang mengambil dengan niat untuk memusnahkannnya yakni tidak mahu membayarnya, maka Allah akan memusnahkannya di dunia dan akhirat.”

*        IJMA’ ULAMA
Seluruh umat Islam telah mengamalkan sistem ini semenjak zaman Rasulullah S.A.W hinggalah ke zaman kita. Para ulama telah menerima sistem ini dan tiada seorang pun yang menentangnya.

Hikmah Pensyariatan Hutang

Ø   Merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan atau kesengsaraan.

Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.


DISEDIAKAN OLEH:
AINATUL ZUHRAH BT ALADDIN
11BI01014/ SMSU 4B

RIBA KAFIR HARBI ( ms 57-59 )


RIBA KAFIR HARBI
Jumhur ulama berpendapat, urusniaga berunsur riba dianggap wujud dan pertukaran tersebut diharamkan apabila wujudnye illah riba dalam urusniaga tersebut, sama ada urusniaga itu dilakukan sesama orang muslim atau dengan kafir zimmi atau kafir harbi.
Menurut pendapat Abu Hanifah dan Muhammad pula, unsure riba hanya wujud apabila pertukaran yang berunsur riba membabitkan dua barangan yang terpelihara. Maksud terpelihara ialah dua hak milik yang tidak boleh di ceroboh dan diambil daripada pemiliknya tanpa kebenaran syarak. Berdasarkan pendapat ini jika salah satu barangan tersebut bukan barangan yang terpelihara, contohnya ia dimiliki oleh kafir harbi iaitu orang bukan islam yang berkerakyatan Negara bukan islam yang berperang dengan Negara islam, maka illah riba tidak wujud jika pihak yang mengambil bayaran tambahan adalah orang islam.
Oleh itu, apabila seorang peniaga islam di Negara kafir harbi dengan jaminan keselamatan Negara tersebut, dia berurus niaga dengan penduduk Negara tersebut serta memperolehi keuntungan dengan cara riba, keuntungan tersebut dibenarkan menurut Abu Hanifah dan Muhammad.
Sementara bagi kafir zimmi iaitu penduduk bukan islam yang menetap di Negara islam, hartanya adalah terpelihara menurut ijma’ ulama. Begitu juga dengan orang mustakmin iaitu kafir harbi yang masuk ke Negara islam dengan jaminan keselamatan dan kebenaran pemerintah islam. Urusniaga berunsurkan riba adalah tidak dibenarkan dengan mereka. Faktor perbezaan agama tidak diambil kira disini kerana para ulama sependapat bahawa persamaan agama yang dianuti tidak menjadi syarat bagi menentukan wujudnya unsur riba atau tidak.






HUJAH JUMHUR ULAMA
Dalam kes ini ialah pengharaman riba dilaksanakan terhadap orang islam dan bukan islam kerana berdasarkan pendapat yang sahih, bukan islam juga diperintahkan supaya melaksanakan cabang-cabang hukum syarak.
Selain itu, nas-nas yang menyentuh tentang urusniaga berunsurkan riba dinyatakan secara umum, tidak ditujukan khusus kepada sesiapa. Oleh itu hukum ini perlu kekal sebagai umum.

HUJAH ABU HANIFAH DAN MUHAMMAD RH.A
Harta milik kafir harbi tidak terpelihara malah harta itu sendiri sebenarnya harus (boleh diambil). Cuma orang islam yang memasuki Negara harbi dilarang mengambil dan memiliki harta tersebut tanpa kerelaan mereka kerana keadaan Negara itu yang penuh dengan penipuan dan pengkhianatan. Apabila mereka menyerahkan harta tersebut kepada orang islam dengan cara yang dipersetujuinya, maka larangan ini ditarik balik kerana sebab larangan sudah tiada. Dengan itu, pemilikan itu sama seperti  memiliki harta tidak bertuan yang dibenarkan.
Walau bagaimanapun, pendapat ini tidak boleh diamalakan pada hari ini kerana orang islam tidak mungkin dapat bekerja dan berniaga di Negara harbi atau berniaga dengan kafir harbi mengikut undang-undang dan amalan yang diguna pakai hari ini. Oleh itu kami merasakan adalah lebih baik para fuqaha dan mufti tidak membincangkan pendapat ini.
Walaupun itu tindakan yang terbaik, namun perkara ini dibincangkan juga kerana ramai yang cuba mengambil kesempatan dengan pendapat ini untuk menghalalkan yang haram. Ramai dikalangan mereka yang berurusniaga secara riba dengan bank-bank asing. Mereka menerima riba dan adakalanya menganjurkan riba, dengan alas an telah meminta pandangan ulama dan ulama telah member fatwa yang membenarkannya.
Sebenarnya pendapat ini merujuk kepada kafir harbi. Kafir harbi ialah orang kafir yang berkerakyatan Negara yang sedang berperang dengan Negara islam mengikut istilah syarak dan uruf hari ini. Pada hari ini definisi ini hanya wujud antara kita dengan yahudi yang telah merampas bumi dan tempat suci kita di palestin. Berbeza dengan Negara timur dan barat yang bukan islam, menurut istilah syarak mereka bukan kafir harbi walaupun pada hakikatnya ada di antara mereka yang menyokong dan membantu zionisme. Walau bagaimanapun mereka tidak termasuk dalam hokum yang dinyatakan oleh Abu Hanifah dan sahabatnya.



PENUKARAN MATAWANG (SORF)
Takrif: lebihan dan tambahan
Sorf di sini ialah amalan sunat,dan ‘adl ialah amalan fardhu. Maknanya Allah tidak menerima apa yang di lakukannya dan tidak akan memberi ganjaran.
Firman Allah:
“Maka tuhannya memperkenankan doanya, lalu dia menjauhkan daripadanya tipu daya mereka.”
“Allah telah mengubah hati mereka (dan memesongkannya daripada iman) dengan sebab mereka adalah golongan yang tidak mengerti.”

Istilah: sorf ialah jual beli dua barangan yang kedua-duanya dalam bentuk matawang, ataupun jual beli wang dengan wang. Apa yang dimaksudkan dengan matawang ialah wang dirham atau dinar atau yang seumpama dengannya. Kedua-dua barangan ini ialah emas dan perak tulen, sma ada dalam bentuk di acu atau sebagainya. Termasuk dalam erti kata ini ialah semua matawang yang diguna pakai hari ini kerana ia mempunyai asset emas yang disimpan.
Proses ini dinamakan sebagai jual beli atau tukaran matawang.

HUKUM KONTRAK TUKARAN MATAWANG MENURUT SYARAK
Kontrak tukaran matawang dibenarkan dan bertepatan dengan syarak. Pada dasarnya, hukum tukaran ini sama seperti hokum jual beli biasa Cuma ditambah dengan beberapa syarat.
Kesahihan tukaran matawang ini disokong oleh banyak hadis dan riwayat sahabat r.a yang akan dinyatakan nanti dan kesahihan ini disokong oleh ijma ulama.



DISEDIAKAN OLEH:
Nur Shahirah Bt Ismail
11BI01015/SMSU 4B

RIBA HUTANG ( ms 54-56 )

RIBA HUTANG
Riba hutang ialah apabila seseorang meminjam sejumlah wang daripada seseorang untuk tempoh tertentu dan dia perlu memulangkannya bersama bayaran tambahan yang ditetapkan ataupun dia memberikan pemiutang bayaran tertentu sebagai faedah atau keuntungan sehingga dia memulangkan semua wang yang dipinjam.
Urusniaga seperti inilah sebenarnya yang menjadi tumpuan nas-nas syarak dan amalan inilah yang cuba dihapuskan.
Riba yang sering diamalkan oleh masyarakat jahiliah tidak berbeza sama sekali dengan urusniaga seperti ini.
 Firman Allah Taala:

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukan (perintah ini), maka ketahuilah (bahawa kamu akan menghadapi) peperangan daripada Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka kamu berhak mengambil modal harta kamu, dalam keadaan kamu tidak menzalimi (sesiapa, dan kamu tidak dizalimi (oleh sesiapa). Jika ada orang berhutang yang kesusahan (tidak mampu membayar hutang), maka berilah tempoh kepadanya sehingga dia senang (dan mampu membayarnya). Perbuatanmu bersedekah (kepada orang berhutang yang susah dengan cara kamu menggugurkan hutangnya) adalah lebih baik bagi kamu. Jika kamu mengetahui (ia lebih baik bagi kamu, maka lakukanlah).


Menurut Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya:
وذروا ما بقى من الربوا
Dan tinggalkanlah ( jangan menuntut lagi ) saki-baki riba.
Tinggalkanlah bayaran tambahan yang kamu letakkan pada modal yang diwajibkan kepada orang lain selepas kamu dengar amaran ini.

Mengenai ancaman keras yang diberikan kepada mereka yang mengamalkan riba selepas amaran ini, menurut ibnu juraij: Ibnu Abbas berkata  ketika mentafsirkan ayat:
فأذنوا بحرب
Maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan
Iaitu yakinilah peperangan daripada Allah dan RasulNya.

Menurut riwayat Rabi’ah bin Kalthum daripada ayahnya daripada Sa’id bin Jabier daripada Ibnu Abbas, katanya: Pada hari kiamat kelak akan dikatakan kepada orang yang mengamalkan riba: Ambillah senjata kamu dan bersiap sedialah untuk berperang. Kemudiannya dia membaca ayat:

Jika kamu tidak melakukan ( perintah ini), maka ketahuilah ( bahawa kamu akan menghadapi) peperangan daripada Allah dan RasulNya.




Ali bin Abu Tolhah ada meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berkata ayat

Ibnu Abbas berkata: “Sesiapa yang masih mengamalkan riba dan tidak mahu menjauhinya, maka pemerintah umat Islam berhak meminta dia bertaubat. Jika dia tidak bertaubat, pemerintah berhak memenggal tengkuknya”.

Menurut al-Rabi’ bin Anas: “ Allah memberi amaran untuk membunuh orang yang mengamalkan riba”. Riwayat Ibnu Jarir.

Apa yang dikatakan oleh tokoh ulama hafiz yang agong ini ( Imam Ibnu Kathir) merupakan perkara yang dipersetujui oleh kalangan para pentafsir kerana ia bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh para ulama silam. Jelas, ayat ini mengharamkan riba sedikit mahupun banyak semenjak zaman nubuwwah lagi, daripada generasi kepada generasi dan dari zaman ke zaman. Perkara ini difahami dengan yakin tanpa sebarang kesangsian. Inilah yang difahami oleh umat Islam, semenjak zaman nabi, daripada generasi ke generasi, dan dari zaman ke zaman.

Menurut Zaid bin Aslam, Ibnu Juraij, Muqattil bin Hayyan dan al-Sudi, ayat ini turun mengenai Bani Amru bin Umair daripada Bani Thaqif dan Bani al-Mughirah daripada Bani Makhzum, mereka mengamalkan riba pada zaman jahiliah. Apabila Islam dating dan mereka memeluk Islam, Bani Thaqif meminta riba daripada mereka lalu mereka bermesyuarat. Bani al-Mughirah berkata: “Kami tidak akan amalkan riba pada zaman Islam”. Lalu wakil Mekah iaitu Attab bin Usaid menulis mengenai perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan turunlah ayat ini. Rasulullah s.a.w pun menuliskan ayat ini kepada mereka:

Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan tinggalkanlah ( jangan menuntut lagi) saki-baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukan (perintah ini), maka ketahuilah (bahawa kamu akan menghadapi) peperangan daripada Allah dan RasulNya. 
(Surah al-Baqarah: 278-279)

Oleh itu mereka berkata: “Kami bertaubat kepada Allah dan kami tinggalkan saki baki riba yang masih ada. Lantas mereka semua menjauhi riba.”

Selain daripada nas-nas al-Quran yang dinyatakan dengan jelas dan terang ini, banyak juga nas-nas hadis yang menguatkan lagi pengharaman riba yang dibawa oleh al-Quran. Sunnah menyifatkan riba sebagai dosa dan kesalahan terbesar yang akan menyebabkan pengamalnya menerima kehancuran. Sunnah juga mengingatkan masyarakat yang mengamalkan riba bahawa mereka akan ditimpa kemusnahan. Diantara hadis terseebut ialah:
1.      Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya:
لعن رسول الله (ص) آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه، وقال: هم سواء
Rasulullah s.a.w telah melaknat pemakan riba, pemberinya, penulisnya dan dua orang saksinya. Baginda juga bersabda: “ Mereka semua adalah sama”


2.      Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa:

قال النبي (ص): اجتنبوا السبع الموبقات. قالوا: يا رسول الله! وما هن؟ قال: الشرك بالله، والسحر، وقتل النفس التي حرم الله إلا بالحق، وأكل الربا، وأكل الربا، وأكل مال اليتيم، والتولي يوم الزحف، وقذف المحصنات الؤمنات الغافلات.
Nabi s.a.w bersabda: “ Jauhilah tujuh dosa besar yang boleh memusnahkan”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah ia?” Baginda menjawab: “ Mensyirikkan Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri pada hari perang dan menuduh wanita-wanita yang suci, beriman lagi tidak mengetahuii perkara keji dengan tuduhan zina.
            “Kecuali kerana kebenaran” bermaksud kecuali jika dia dibunuh kerana jenayah yang dilakukannya dan dia dihukum bunuh oleh syarak kerana jenayah tesebut. “ Melarikan diri dari perang” bermaksud lari dari medan peperangan ketika berhadapan dengan orang kafir.

3.      Hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Apabila zina dan riba menzahirkan diri di sesebuah kampung, mereka sebenarnya telah membenarkan diri mereka diazab oleh Allah.


Dalam riwayat lain disebut:
Apabila zina dan riba menzahirkan diri di sebuah kampung. Allah telah mengizinkan supaya kampung tersebut dibinasakan.

Kesemua hadis ini sudah cukup menjelaskan keburukan riba. Bahkan kesemua syariat samawiyyah yang diturunkan sebelum Islam juga mengharamkannya. Al-Quran; kitab yang diturunksn tanpa sebarang salah silap turut menjelaskan bahawa sebab yang melayakkan bani Israel menerima laknat, azab, kesengsaraan dan bencana adalah kerana dosa yang mereka lakukan terutamanya riba, sedangkan mereka dilarang mengamalkannya. Firman Allah:


Maka, dengan sebab kezalimaan daripada orang-orang Yahudi, Kami telah mengharamkan ke atas mereka benda-benda yang baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan dengan sebab mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah. (Begitu juga) dengan sebab mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang daripadanya; dan (dengan sebab) mereka memakan harta orang dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka azab yang sangat menyakitkan.
(Surah an-Nisa: 160-161)




Disediakan oleh:
Saidatina Nurfarahanis binti Saidina Abas.
11BI01009
SMSU 4 (B)