Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

RIBA NASI'AH , RIBA YAD .. ( ms 42-44 )

2. RIBA NASI AH ( Bayaran Tertangguh )

   Riba nasi ah ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain secara tertangguh dan kedua-duanya mempunyai illah yang sama. Hukum ini membabitkan semua pertukaran sama ada barangan tersebut sama jenis atau jenis yang berbeza, sama ada wujud bayaran tambahan atau dengan jumlah yang sama.
  Contohnya, penjual menjual secupak gandum dan dibayar dengan secupak gandum atau secupak barli atau dua cupak barli dalam tempoh sebulan barulah pembayaran dibuat. Ataupun penjual menjual 10 gram emas dan dibayar dengan 10 gram emas atau perak atau dengan nilai yang lebih atau kurang,dalam tempoh sehari atau lebih barulah pembayaran dibuat.
  Urusniaga seperti ini juga haram dan tidak dibenarkan kerana wujud unsur riba walaupun tidak ketara. Pembayaran tunai berbeza dengan pembayaran tertangguh. Dengan itu wujud tambahan nilai pada salah satu barangan yang dibayar secara tunai.
Larangan ini telah dinyatakan oleh sabda Nabi s.a.w dalam hadis Abu Sa’id r.a yang lalu:
        “ Jangan kamu menjual barangan yang tiada dengan barangan yang ada.’’
 Demikian juga dengan sabda Nabi s.a.w. dalam hadis lain:
        “ Sama dengan sama, tangan dengan tangan.’’
Begitu juga hadis daripada ubadah r.a.:
فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد
“ Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagi ia dilakukan tangan dengan tangan.’’
  Tangan dengan tangan bermaksud penerimaan secara tunai; kedua-dua pihak menyerahkan barangan yang ada di tangan masing-masing ketika memeterai kontrak. Perbuatan ini biasanya merujuk kepada tunai.



3. RIBA YAD ( Tangan )

  Riba yad ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan berunsur riba yang lain dan kedua-duanya mempunyai illah yang sama tnpa diisyaratkan tempoh tertentu ketika kontrak tersebut. Walau bagaimanapun kelewatan menyerahkan salah satu antara kedua-dua barangan benar-benar berlaku di luar majlis kontrak.
Dalil hukum ini ialah hadis daripada Umar r.a yang dinyatakan sebelum ini:
                         “ Kecuali secara ambil dengan ambil.’’
Hadis ini menunjukkan penyerahan dan penerimaan wahib dilakukan dalam majlis yang sama.

Kaedah Menentukan Barangan Sama Jenis atau Tidak.

Para fuqaha telah meletakkan kaedah bagi menentukan barangan yang sejenis dan yang tidak sejenis. Menurut fuqaha, dua barangan yang mempunyai nama khas yang sama yang berasal daripada kejadian asal yang sama adalah sejenis. Sementara dua barangan yang kejadian asalnya mempunyai nama yang berbeza adalah jenis yang berbeza.
Maksud nama khas ialah nama yang membezakannya dengan nama am. Contohnya, kata nama tamar adalah nama khas yang membezakannya dengan buah-buahan yang lain. Persamaan mereka hanya pada nama am iaitu buah-buahan.
Maksud kejadian asal ialah keadaan asal ia dijadikan. Oleh itu, persamaan nama selepas dilakukan perubahan atau pemprosesan tidak termasuk dalam ertikata ini.
        Semua jenis emas adalah sejenis, begitu juga dengan perak.
        Semua jenis tamar adalah sejenis, begitu juga dengan kismis.
        Semua jenis gandum adalah sejenis, begitu juga dengan barli.
        Semua barangan yang terdiri daripada jenis basah dan kering seperti anggur dan kismis, dan kurma (tamar) dan rutob, maka jenis basah dan keringnya dikira sebagai sejenis.
        Barangan yang dihasilkan daripada bahan asal juga dikira sebagai sejenis. Contohnya gandum,tepung dan gandum yang dikisar seperti dedak adalah sejenis.

        Daging-daging pelbagai jenis haiwan dikira sebagai jenis yang berlainan. Kambing (Ma’zu) adalah sejenis haiwan dan kambing biri-biri (Dho’nu) adalah daripada jenis yang sama. Lembu adalah sejenis haiwan dan kerbau adalah daripada jenis yang sama. Manakala semua daging unta adalah daripada jenis yang sama.

Daging merah dan daging putih tidak berbeza, kedua-duanya dikategorikan sebagai sejenis. Lemak yang bercampur dengannya seperti lemak yang ada dibahagian belakang, susuk dan dada juga dikira sebagai sejenis.

Walau bagaimanapun lemak dibahagian perut berbeza dengan daging. Begitu juga dengan isi perut. Semua urat, lemak perut dan daging dikira sebagai jenis yang berlainan. Begitulah juga dengan bonggol unta, ia dikira sebagai jenis yang lain.

Organ dalam badan seperti hati, limpa dan perut adalah jenis yang berlainan, juga jenis yang berbeza dengan daging, lemak dibahagian perut dan urat.

        Bahan yang diproses daripada bahan yang berbeza adalah jenis yang berbeza sepertimana bahan asalnya.

Contohnya, tepung daripada gandum berbeza dengan tepung daripada barli.
Cuka daripada anggur berbeza dengan cuka daripada tamar.

Begitu juga dengan minyak yang digunakan untuk menyediakan makanan dan ubat. Ia adalah jenis yang berbeza mengikut bahan asalnya.

        Demikian juga dengan pelbagai jenis susu dikira sebagai jenis yang berlainan. Susu kambing (Ma’zu) dan susu kambing biri-biri (Dho’nu) adalah jenis yang sama; susu lembu dan susu kerbau adalah jenis yang sama, susu semua jenis unta adalah jenis yang sama.

        Telur-telur burung juga berbeza mengikut jenis burung.



Jual beli Barangan Berunsur Riba dan Syarat-syarat Bagi Membolehkannya.

Semua barangan berunsur riba yang dinyatakan diatas (dinyatakan illah pengharaman, kadar timbangannya dan jenis-jenisnya), banyak digunakan dalam urusniaga dan saling bertukar tangan. Dalam pada itu, syariat Allah Azza wa Jalla datang untuk memudahkan dan meringankan segala bebanan manusia. Firman ALLAH Taala: 
يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر
Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Al-Baqarah: 185)
وما جعل عليكم في الدين من حرج
Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Al-Haj:78)
Atas dasar ini, Allah membenarkan manusia berjual beli dan bertukar barangan tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Jika segala syarat ini dipenuhi, urusniaga tersebut sah kerana syarat-syarat ini membersihkan urusniaga mereka daripada segala unsur riba yang diharamkan dan yang boleh menjerat mereka kedalam neraka.
Syarat-syarat ini kami gariskan berdasarkan perbincangan sebelum ini tentang illah pengharaman riba dan jenis-jenis riba. Digariskan secara ringkas seperti berikut:

1.       Barangan yang Sejenis
  
   Apabila jual beli membabitkan barangan berunsur riba dari jenis yang sama [dalam keadaan ini, illah riba juga sama]. Contohnya gandum dengan gandum, gula dengan gula, perak dengan perak. Jual beli ini perlu memenuhi tiga syarat bagi mengelak daripada termasuk dalam jual beli riba.

a.      Barangan yang Ditukar Tangan Mestilah Sama

Mestilah mengikut sukatan yang sama bagi barangan yang boleh disukat seperti cupak dengan cupak, liter dengan liter. Demikian juga mestilah mengikut timbangan yang sama bagi barangan yang ditimbang seperti kati dengan kati, kilogram dengan kilogram. Atau pun mengikut bilangan yang sama bagi barangan yang dibilang seperti lima dengan lima dan seterusnya.


pembentang: Nur Shahada Muhad Shah
                                   ( 10BI01054 )

Barangan Berunsur Riba (ms 39 - 41)


Riba berlaku apabila membabitkan enam barangan berikut iaitu:
1.      Emas                                                          4. Barli
2.      Perak                                                         5. Tamar
3.      Gandum                                                     6. Garam

Semua barangan ini ada dinyatakan dengan jelas oleh nas.
Al-Bukhari, Muslim dan yang lain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ رِباً إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ "وفي رواية: "الوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ" (البخاري في البيوع، باب: ما يذكر في بيع الطعام والحكرة، رقم: ٢٠٢٧ ومسلم في المساقاة، باب: الصرف وبيع الذهب بالورق نقداً، رقم: ١٥٨٦).
          [هاء وهاء: اسم فعل بمعنى خذ، والمراد: أن يعطي كل من المتعاقدين ما في يده من العوض، ويحصل التقايض في المجلس. البر: الحنطة. الورق: الفضة. والحكرة: حبس السلع عن البيع، كالاحتكار ].
“Emas dan emas adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, gandum dengan gandum adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil, barli dengan barli adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil dan tamar  dengan tamar adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil.”
            Terdapat banyak nas iaitu dalam hadis-hadis yang akan diperkatakan selepas ini yang menyebut barangan-barangan ini dan juga garam sebagai barangan berunsur riba.
            Selain enam barangan tersebut, unsur riba juga turut wujud dalam barangan-barangan lain. Ini kerana, hukum yang ditetapkan pada barangan yang disenaraikan tadi sebenarnya berpandukan kepada sebab (illah) tertentu. Dengan itu, barangan lain perlu dipadankan dengan sebab (illah) yang diterima pakai ini bagi menentukan kewujudan unsur riba.

‘ILLah Riba
            Illah merujuk kepada ciri-ciri tertentu yang menjadikan sesuatu barangan itu disenaraikan sebagai barangan berunsur riba. Jika unsur ini terdapat dalam sesuatu urusniaga, urusniaga tersebut juga dikelaskan sebagai urusniaga riba.
            Walau bagaimanapun, ciri-ciri ini tidak digariskan dengan jelas oleh hadis-hadis dalam tajuk ini. Namun demikian para ulama telah cuba menyenaraikan ciri-ciri ini berpandukan nas-nas tersebut. Menurut para fuqaha:
            Barangan yang dinyatakan dalam hadis-hadis tadi ada yang dalam bentuk mata wang seperti emas dan perak, dan ada dalam bentuk makanan manusia seperti gandum, barli, tamar dan garam. Berdasarkan kepada faktor ini, dapat disimpulkan bahawa kayu ukur yang diterima pakai bagi menentukan sesuatu barangan itu berunsur riba atau tidak ialah mata wang dan makanan, tanpa mengambil kira sukatan atau timbangannya. Seolah-olah syarak menggariskan semua barangan yang berupa mata wang atau makanan tidak boleh dijual beli dengan barangan yang sama jenis dengannya melainkan jika menurut syarat-syarat tertentu.
            Segala urusniaga yang membabitkan mata wang yang berlandaskan emas dan perak seperti mata wang yang diguna pakai hari ini dikategorikan sebagai barangan berunsur riba dan segala urusan dengannya boleh membabitkan riba sama seperti emas dan perak.
            Demikian juga dengan segala makanan yang biasanya dimakan oleh manusia juga dikategorikan sebagai barangan berunsur riba dan segala urusan dengannya boleh membabitkan riba. Sama ada makanan tersebut adalah makanan utama seperti nasi dan jagung yang dipadankan dengan gandum dan barli, atau pun buah-buahan seperti kismis, buah tin dan sebagainya yang dipadankan dengan tamar, atau pun sebagai makanan perisa atau untuk keperluan makanan dan badan seperti halia dan sebagainya yang boleh dipadankan dengan garam.
            Barangan lain yang bukan dalam bentuk mata wang atau makanan manusia tidak dikategorikan sebagai barangan berunsur riba. Antaranya logam selain emas dan perak, pakaian dan sebagainya. Sementara makanan yang pada kebiasaannya menjadi makanan utama kepada bukan manusia, segala urusniaga yang membabitkannya tidak termasuk dalam urusniaga berunsur riba.
            Semua masalah di atas tidak mengambil kira kadar sukatan atau timbangan atau sebagainya.

Jenis-jenis dan Hukum Riba
Para fuqaha mengkategorikan riba kepada beberapa jenis:

1.      Riba fadl (bayaran tambahan)
Riba fadl ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan yang sama dan disertakan dengan bayaran tambahan oleh salah satu pihak. Contohnya penjual menjual secupak gandum dengan pembeli membayar dua cupak gandum. Contoh lain, 100 gram emas ditukar dengan 110 gram emas, atau pun mungkin kurang daripada itu atau lebih daripada itu.
Unsur riba iaitu bayaran tambahan yang terdapat dalam urusniaga ini amat jelas dan ketara. Urusniaga seperti ini adalah haram dan tidak dibenarkan. Hukum ini berdasarkan larangan yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"لاَ تَبِيعُوا الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ إِلاَّ مثلاً بِمِثْلٍ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ. وَلَا تَبِيعُوا الْوَرِقَ بِالْوَرِقِ إِلاَّ مِثْلاً بِمِثْلٍ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ "

“Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali sama dengan sama dan jangan melebihkan yang satu atas yang lain. Jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali sama dengan sama dan jangan kamu melebihkan yang satu atas yang lain.” [Riwayat Al-Bukhari, Jual beli, Bab jual beli perak dengan perak, daripada Abu Sa’id al-Kudri r.a, no. 2068. Muslim, Musaqah, Bab riba, no. 1584]
            Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ: مِثْلاً بِمِثْلٍ يَداً بِيَدٍ، فَمَنْ زَادَ أَوْ اسْتَزَادَ فَقَدْ أَرْبَى، الآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ ".
“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, garam dengan garam, perlu sama berat dan tangan dengan tangan. Barang siapa yang menambah atau meminta tambahan dia telah melakukan riba, orang yang mengambil dan orang yang memberi adalah sama.” [Sahih Muslim, Musaqah, Bab pertukaran dan jual beli emas dengan perak secara tunai, daripada Abu Sa’id al-Khudri]
            Hadis yang hampir sama ada diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Somit r.a.


            Hukum ini tidak perlu mengambil kira mutu barangan tersebut kerana hadis Nabi s.a.w. tadi umum:
" لَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ "
“Jangan melebihkan yang satu atas yang lain.”
            Hukum ini juga berpandukan hadis al-Bukhari dan Muslim, Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata:

جَاءَ بِلاَلٌ إلى النبي صلى الله عليه وسلم بِتَمْرٍ بُرْنِيّ، فَقَالَ لَهُ النبي صلى الله عليه وسلم: "مِنْ أَيْنَ هَذَا ؟ " قَالَ بِلاَلٌ رضي الله عنه: كَانَ عِنْدَنَا تمر رَدِيءٌ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ لِنُطْعَمِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم. فقال النبي صلى الله عليه وسلم عند ذلك: " أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عِيْنُ الرِّبَا لَا تَفْعَلْ "

            Bilal datang menemui Nabi s.a.w. bersama tamar burni (sejenis tamar yang bermutu tinggi(. Lalu Nabi s.a.w. bertanya: Dari mana engkau dapat tamar ini? Bilal menjawab: Pada asalnya saya mempunyai tamar yang tidak elok, lalu saya jual dua gantang tamar tadi dengan segantang (tamar yang elok) untuk saya berikan kepada Nabi s.a.w.. Lantas Nabi s.a.w. bersabda: Tidak, tidak, itulah riba, itulah riba, jangan lakukan begitu. [Al-Bukhari, Wikalah, Bab apabila wakil menjual suatu yang tidak elok dan jualannya itu ditolak, no. 2188. Muslim, Musaqah, Bab jual beli makanan yang sama dengan yang sama, no. 1594]

            Selain itu hukum ini juga tidak mengambil kira bentuk barangan tersebut. Jika penjual menjual emas yang dibentuk mengikut acuan, penjual perlu memastikan kedua-dua emas tersebut mestilah sama dari segi berat dengan emas satu lagi. Hukum ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: Jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali yang sama dengan yang sama.” Perak di sini termasuk perak yang dibentuk dengan yang tidak dibentuk.


Oleh: Diani Farain binti Dasuki
            (10BI01038)

Jual Beli Salam .. ( ms 30-32 )

Takrif :
Bahasa = mendahulukan.
Istilah = jualbeli salam ialah jual beli sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya sahaja dengan lafaz salam atau salaf.

Jual beli salam adalah salah satu jenis kontrak jual beli yang dibenarkan. Ia dibenarkan disebabkan ia dikecualikan daripada kategori menjual barangan yang tak wujud.
Kesahihan menurut syarak.
Kontrak jual beli salam ialah kontrak yang diberikan pengecualian kerana jual barangan yang tidak wujud. Seperti yang kita tahu, menjual barangan yang tidak wujud adalah tidak sah.Namun jual beli salam ini diberikan pengecualian kerana manusia memerlukan jual beli seperti ini.

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah mengamalkan jual beli salam dalam jual beli buah-buahan selama setahun atau dua tahun. Baginda bersabda : ”” Sesiapa yang ingin berjual beli salaf ( salam ), maka hendaklah dia berjualbeli salaf ( salam ) dengan sukatan yang dimaklumi dan timbangan yang dimaklumi sehingga tempoh yang dimaklumi.”

Rukun & Syarat
Terdapat 4 syarat di dalam jual beli salam:

Rukun pertama: Pihak yang mengikat kontrak ( Pembeli dan penjual )
- pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki. Dalam istilah Arab dikenali sebagai muslim.
- penerima ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikan ataupun dikenali sebagai muslam ’alaih.
Kedua-dua pihak ini terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan kepada pembeli dan penjual dalam kontrak jual beli iaitu baligh, berakal, sukarela dan sebagainya.
Cuma di sini tidak dikenakan syarat boleh melihat. Oleh itu, orang buta sah melakukan jual beli salam tetapi tidak boleh melakukan jual beli seperti yang telah kita maklumi. Ini adalah kerana dalam jual beli disyaratkan kedua-dua pihak melihat barangan yang dijual sementara dalam jual beli salam barangan tersebut hanya dinyatakan sifat-sifatnya sahaja. Jadi, sifat-sifat ini boleh diketahui dengan cara mendengar. Sementara ketika menerima pula, orang buta boleh mewakilkannya kepada sesiapa sahaja bagi memastikan wujudnya sifat-sifat yang dinyatakan.

Rukun kedua: Sighah kontrak
= iaitu penawaran( ijab ) dan persetujuan (qabul ).
Contohnya pemilik modal berkata :
Saya dahulukan 1000 dinar ini untuk mendapatkan 100 helai baju yang sifat-sifatnya seperti berikut.
Sementara penerima pula berkata :
Saya setuju atau saya terima pembayaran yang didahulukan ini atau sighah yang seumpamanya.
Penawaran dan persetujuan ini terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan bagi sighah kontrak jual beli biasa seperti mesti berada dalam satu tempat, wujud persamaan antara penawaran dengan persetujuan dan sebagainya. Terdapat syarat tambahan iaitu sighah tersebut mestilah menyatakan lafaz salam atau salaf dan tidak sah juka menggunakan lafaz yang lain.
Selain itu, kontrak ini juga disyaratkan tidak mengandungi sebarang khiyar syarat. Maksudnya ialah kontrak tersebut mestilah kontrak penuh kerana khiyar syarat hanya dibenarkan bagi kontrak jual beli biasa sahaja. Ia tidak boleh disamakan dengan jual beli yang lain. Dengan itu, khiyar syarat di sini kekal dengan hukum asalnya iaitu tidak dibenarkan.
Disyaratkan dalam jual beli salam, modal perlu diberikan dalam majlis kontrak. Sedangkan jika khiyar syarat wujud dalam kontrak ini, perkara ini boleh menghalang maksud tersebut. Ini kerana khiyar syarat menghalang penerimaan modal daripada memperoleh hak penuh terhadap modal tersebut. Penerimaan modal tersebut mungkin hanya sekadar bayangan sahaja dan ini akan menyebabkan kedua-dua pihak berpisah sebelum kontrak tersebut sempurna dimeterai. Ini tidak dibenarkan. Dengan ini kontrak jual beli salam yang membabitkan syarat khiyar dianggap tidak sah.
Bagi khiyar majlis pula boleh diadakan dalam kontrak jual beli salam kerana khiyar tersebut tamat apabila kedua-dua pihak terpisah. Dengan itu, perpisahan kedua-dua pihak menandakan sempurnanya kontrak itu. Jadi tidak wujud sebarang percanggahan antara khiyar majlis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam jual beli salam.

Rukun ketiga: Modal.
Modal ialah bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual. Beberapa syarat telah ditetapkan:
1) Jumlah dan bentuk pembayaran hendaklah dimaklumi oleh kedua-dua pihak. Contohnya bayaran yang dibuat sebanyak RM 100 atau 5000 dolar. Jika bayaran yang dibuat menggunakan barangan yang boleh disukat atau ditimbang seperti gandum, gula atau sebagainya, jumlah sukatan dan timbangan perlu dinyatakan. Comtohnya 1000 cupak atau seribu kati. Disyaratkan juga kualiti barangan perlu dinyatakan.
Jika bayaran tersebut boleh dilihat, contohnya pembeli membayar seguni gandum bagi mendapatkan barangan tertentu atau pembeli menggunakan dirham, pembeli disyaratkan untuk menyatakan jumlah bayaran tersebut tetapi tidak perlu menyebut sifat, jenis dan spesifikasi barangan kerana boleh diganti dengan penglihatan. Jadi ia hanya sekadar percakapan tanpa keterangan yang terperinci.
2) penyerahan modal oleh pembeli dan penerimaan modal oleh penjual perlu dalam masa kontrak iaitu sebelum mereka berpisah secara fizikal kerana penyerahan ini adalah objektif asal dalam jual beli salam.
Jika penyerahan ini tidak terjadi, bermakna tidak wujudlah kontrak jual beli salam. Dan kerana ini, ia berubah kepada menjual hutang dengan hutang yang tidak dibenarkan.
Tidak disyaratkan mestilah penerimaan yang hakiki. Jika modal itu dipindahkan daripada pihak ketiga yang berhutang dengan pembeli, supaya dibayar kepada penjual, maka ia tidak sah. Ini kerana pemindahan hutang tidak termasuk dalam kategori menerima.

Rukun keempat: Barangan yang ditempah.
= iaitu barangan yang dijual di dalam kontrak. Penjual berjanji untuk menyerahkannya kepada pembeli. Sebagai timbal balik kepada modal yang dibayar sebagai bayaran yang didahulukan. Beberapa syarat telah ditetapkan:
1) Barang tersebut mestilah boleh dinyatakan sifat-sifatnya.
Yang ditempah hendaklah mengikut kehendak pembeli sehingga tidak timbul sebarang kekeliruan. Barangan yang ditempah itu juga boleh dibezakan dengan jenis-jenis lain yang seumpama dengannya atau hanya wujud perbezaan kecil yang diambil ringan oleh manusia biasanya.
Dalilnya: ” Yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Aufa RA katanya: Dahulu kami melaksanakan jual beli salam iaitu pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar untuk mendapatkan gandum, barli, kismis dan tamar”
Semua barangan yang dinyatakan dalam hadis di atas adalah barangan yang boleh dinyatakan spesifikasinya.
Barangan lain yang tidak dinyatakan di sini boleh diqiaskan dengan barangan yang disebutkan. Sama ada barangan tersebut telah lama wujud atau baru kini wujud atau akan wujud pada masa akan datang. Selagimana barangan tersebut menepati diri-ciri yang dinyatakan. Ia boleh dinyatakan spesifikasinya walaupun tidaklah seratus peratus.

pembentang : Hazirah binti Najmuddin
                       ( 09BI01174 )

Syarat Tiada Cacat Cela, Al-Iqalah Dan Jual Beli Salam .. ( ms 27-29 )

Syarat Tiada Cacat Cela

          Jika penjual meletakkan syarat kepada pembeli ketika kontrak, bahawa dia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang ada pada barangan yang dijual, kontrak tersebut sah. Ini kerana syarat tersebut mengukuhkan lagi kontrak dan menafikan hak pembeli untuk memulangkan semula atau membatalkan pembelian. Apatah lagi secara zahirnya barangan tersebut kelihatan tidak mempunyai sebarang kecacatan.
          Adakah ini bermakna khiyar aib digugurkan dan pembeli tiada hak untuk memulangkan semula barangan tersebut atau membatalkan jual beli tersebut jika didapati wujud kecacatan sedia ada, seperti mana hak yang diberikan kepada pembeli yang kita ketahui?
          Jawapan bagi masalah ini perlu dilihat kepada beberapa perkara :
1.     Jika barang tersebut tidak bernyawa, syarat tersebut tidak terpakai. Jadi, pembeli masih berhak memulangkan semula dan penjual perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang wujud pada barangan tersebut. Hak menuntut khiyar aib masih diberikan kepada pembeli sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.
2.     Jika barangan yang dijual tersebut bernyawa, penjual boleh melepaskan sebarang tanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang tidak nyata sahaja pada barangan tersebut pada masa kontrak dan yang diluar pengetahuannya. Sebabnya, pada kebiasaannya benda yang bernyawa mempunyai kecacatan yang tidak nyata. Dengan ini penjual berhak mengenepikan sebarang tanggungjawab terhadap kecacatan tersebut melalui syarat perlepasan tanggungjawab ini.




Al-Iqalah

Takrif
          Iqalah dalam bahasa Arab membawa makna angkat. Dalam kontrak, istilah ini merujuk kepada makna membatalkan hokum dan implikasi kontrak.
          Menurut istilah para fuqaha, iqalah ialah kedua-dua pihak yang memeterai kontrak bersetuju membatalkan kontrak yang boleh dibatalkan mengikut konsep khiyar (pilihan).
          Berdasarkan kepada takrif ini ;
1.     Dapat fahami bahawa iqalah hanya membabitkan kontrak tetap (akad lazim) iaitu apabila kontrak ini telah dimeterai (segala syarat dan rukunnya telah dipenuhi), salah satu pihak tidak dibenarkan membatalkan kontrak tersebut pada bila-bila masa walaupun tanpa persetujuan pihak yang satu lagi. Bagi kontrak boleh ubah (akad ja’izah) iaitu mana-mana pihak boleh membatalkan kontrak tersebut pada bila-bila masa walaupun tanpa persetujuan pihak kedua, kontrak ini tidak perlu kepada iqalah.
2.     Iqalah yang membabitkan kontrak yang boleh dibatalkan seperti jual beli, sewaan dan sebagainya. Bagi kontrak yang tidak boleh dibatalkan seperti nikah, ia tidak terbabit dengan iqalah.

Pensyariatan
          Pembatalan kontrak atau iqalah adalah bertepatan dengan syarak. Malah perkara ini disunatkan jika diminta oleh salah satu pihak kerana langkah ini memudahkan manusia dan memberikan mereka peluang untuk memperbetulkan sebarang tindakan yang dikesali yang telah dilakukannya. Mungkin salah satu pihak merasakan dia akan kerugian setelah memeterai kontrak tersebut atau pun dia merasakan kontrak tersebut tidak diperlukannya. Oleh itu dengan meneruskan kontrak ini, pihak ini akan bermasalah dan tertekan. Sebaliknya dengan membatalkan kontak tersebut, masalah tadi akan selesai dan meringankan bebannya. Pihak yang bersedia membatalkan kontrak ini sudah tentu beroleh ganjaran pahala.
          Dalil pensyariatan, Hadis Rasulullah s.a.w (maksudnya) :
“Barangsiapa yang membatalkan jual belinya (melakukan iqalah) dengan seorang muslim nescaya Allah akan menghapuskan kesalahannya”.
          Dalam lafaz lain yang disebut  (maksudnya) :
“Barangsiapa yang membatalkan (jual belinya) dengan seorang muslim nescaya Allah akan menghapuskan kesalahannya di hari kiamat kelak”.
          Dalam lafaz lain disebut (maksudnya) :
“Barangsiapa yang membatalkan (jual belinya) dengan orang yang menyesal…”

Rukun Iqalah
          Rukun Iqalah ialah : sighah, iaitu penawaran (ijab), contohnya : “Batalkan jual beli saya”. Dan persetujuan (qabul), contohnya : “saya batalkan jual beli dengan anda”
          Syarat yang ditetapkan ialah pembatalan tersebut iaitu penawaran dan persetujuan (ijab dan qabul) mestilah dalam majlis yang sama. Sama seperti syarat kontrak yang lain kerana iqalah juga termasuk dalam erti kata kontrak.

Syarat-syarat Iqalah
1.     Persetujuan kedua-dua pihak seperti yang dinyatakan dalam takrif : Jika salah satu pihak dipaksa melakukannya, ia tidak sah kerana iqalah bermaksud membatalkan kontrak. Oleh itu, perkara ini terikat dengan peraturan yang ada iaitu memerlukan persetujuan dan dilakukan secara sukarela.
2.     Tidak wujud sebarang pertambahan atau pengurangan kepada kontrak asal, barangan yang ditukar milik juga tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi iqalah ialah membatalkan jual beli iaitu membatalkan kontrak yang sedia ada. Dengan ini kedua-dua pihak memperolehi semula barangan masing-masing sepertimana sebelum kontrak. Oleh itu, jika pembatalan dilakukan ke atas kontrak jual beli yang telah berlaku pertambahan kepada barang jualan asal; pertambahan yang boleh dipisah, contohnya kambing yang dijual telah melahirkan anak, dalam keadaan ini iqalah tidak boleh dilakukan.


Jual Beli Salam

Takrif
          Menurut bahasa Arab, salaf iaitu mendahulukan.
        Menurut istilah syarak pula jual beli salam ialah jual beli sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya sahaja dengan lafaz salam atau salaf
          Jual beli salam adalah salah satu  jenis kontrak jual beli yang dibenarkan. Ia dibenarkan disebabkan ia dikecualikan daripada kategori menjual barangan yang tidak wujud.

pembentang : Hani Iradah binti Azman
                      (10BI01028) 

Khiyar Syarat Dan Khiyar Aib .. (ms 24- 26)

KHIYAR SYARAT
Khiyar syarat berlaku apabila salah satu pihak atau kedua-dua pihak menetapkan syarat dia mempunyai hak khiyar iaitu hak untuk membatalkan kontrak dalam tempoh tertentu. Syarat ini boleh dinyatakan ketika memeterai kontrak ataupun selepas daripada itu, tetapi mestilah sebelum mereka berpisah dari majlis tersebut. Khiyar ini dinamakan khiyar syarat kerana pihak yang terlibat melibatkan syarat tertentu.
Khiyar ini perlu memenuhi beberapa syarat berikut :
1.      Mestilah terhad kepada tempoh tertentu
Jika mereka berkata : saya berhak menuntut khiyar, tanpa dihadkan pada tempoh tertentu, khiyar tersebut tidak sah.
2.      Tempoh yang ditetapkan tidak boleh melebihi tiga hari jika barangan tersebut tidak mudah rosak dalam tempoh tersebut
Biasanya, masa untuk berfikir tidak perlu melebihi tempoh tersebut. Jual beli tersebut dianggap terbatal jika melebihi tempoh tersebut walaupun sesaat. Begitu juga jual beli akan terbatal, jika barangan tersebut akan rosak dalam tempoh yang ditetapkan walaupun tempoh tersebut tidak sampai tiga hari.
3.      Tempoh mestilah berturutan dan bersambung dengan kontrak
Jika disyaratkan khiyar tersebut bermula selepasmereka berpisah atau ditetapkan pada hari-hari tertentu yang tidak berturutan atau tempoh khiyar tidak bermula sebaik sahaja kontrak dimeterai, jual beli tersebut tidak sah dan kontrak tersebut terbatal. Sebabnya mereka meletakkan syarat yang tidak sesuai dan tidak diterima oleh syarak.


Hadis Hibban bi Munqiz r.a :
Suatu ketika dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia telah ditipu ketika jual beli. Lantas Nabi s.a.w. bersabda kepadanya : “jika engkau berjual beli katakanlah: Tidak boleh ada penipuan.”
Dalam riwayat lain disebut :
Saya berhak menuntut khiyar dalam tempoh tiga hari.
Bilakah hak khiyar dibatalkan?
Apabila pihak yang mempunyai hak khiyar memilih untuk membatalkan kontrak, maka kontrak tersebut dianggap batal. Contohnya, apabila dia berkata : saya batalkan jual beli ini. Atau pun apabila hak khiyar berada di tangan pihak penjual dan dia berkata: saya menarik balik barangan yang saya jual ini. Atau pun pihak pembeli berkata : saya menarik balik bayaran ini. Atau pun apa sahaja tindakan yang seumpama itu.
Jika sesuatu kontrak jual beli dianggap terlaksana jika hak khiyar terbatal, hak khiyar syarat pula dianggap terbatal dengan sebab-sebab berikut :
1.      Tamat tempoh yang disyaratkan
Setelah tamat tempoh yang ditetapkan dan kontrak tersebut tidak dibatalkan oleh pemegang khiyar , sama ada penjual ataupun pembeli atau kedua-duanya sekali , maka kontrak tersebut dianggap terlaksana dan khiyar tersebut terbatal, tiada siapa lagi selepas itu berhak membatalkan kontrak tersebut.
2.      Jual beli tersebut diteruskan dan dipersetujui dalam tempoh khiyar
Contohnya  : pemegang hak khiyar berkata : saya setuju dengan kontrak ini, atau pun saya bersetuju untuk meneruskan atau memilih untuk menjual atau membelinya.
3.      Apabila pemegang hak khiyar melakukan sesuatu yang pada kebiasaanya hanya dilakukan oleh seorang pemilik
Perbuatan ini menunjukkan dia bersetuju meneruskan jual beli tersebut dan membatalkan hak khiyarnya. Namun ini hanya berlaku jika pemegang hak khiyar adalah pembeli. Jika tindakan tersebut lahir daripada penjual, tindakan itu menunjukkan kontrak tersebut telah dibatalkan.
Hukum barangan dalam tempoh Khiyar
1.      Hak milik barangan ( Barangan Jualan) dalam tempoh Khiyar
Jika kedua-dua pihak memegang hak khiyar, hak milik barangan tersebut dibekukan sehingga ada keputusan sama ada kontrak tesebut diteruskan atau dibatalkan. Sekiranya kontrak tersebut dibatalkan, hak milik barangan tersebut kekal sebagai hak milik penjual. Jika jual beli tersebut diteruskan, barangan tersebut menjadi hak milik pembeli bermula daripada tarikh kontrak dimeterai dan bayaran kepada barangan tersebut menjadi milik penjual.
2.      Kerosakan Barangan dalam tempoh khiyar
Jika kerosakan berlaku sebelum barangan tersebut diterima oleh pembeli, maksudnya barangan tersebut masih berada di tangan penjual, jual beli tersebut terbatal dan hak khiyar dilucutkan. Tidak kira sama ada hak khiyar dipegang oleh pembeli atau pun penjual. Sebabnya barangan tersebut tidak dapat diserahkan oleh penjual kepada pembeli. Dengan itu penjual terpaksa menanggung kerugiannya.
Jika kerosakan berlaku selepas barangan tersebut diterima oleh pembeli, maksudnya barangan tersebut tidak terbatal. Ini kerana kerosakan barangan tersebut di bawah tanggungan pembeli disebabkan barang tersebut berada di tangannya. Dalam masa yang sama khiyar masih diteruskan, tidak kira sama ada pemegang hak khiyar adalah pembeli atau penjual.



KHIYAR AIB
Pada asasnya, urusan seorang muslim dengan orang lain perlu dijalankan atas landasan saling menjaga hak dan bersih daripada segala unsur penipuan. Penipuan bererti mengambil harta orang lain dengan jalan yang tidak sah. Rasulullah s.a.w. pernah memberikan peringatan yang amat keras kepada umat Islam supaya tidak menipu. Salah satu menipu dalam perniagaan ialah penjual menyembunyikan kecacatan yang ada pada barangan yang dijual walaupun dia mengetahuinya.


Hadis Aisyah r.ha :
Sesungguhnya seorang lelaki telah membeli seorang hamba, lalu dia menggunakan khidmat hamba itu. Kemudian dia dapati pada hamba itu suatu kecacatan, lalu dia mengembalikan hamba itu kerana kecacatanya. Namun penjual berkata : “ Di manakah keuntungan hamba saya ini?” Nabi s.a.w. bersabda : “keuntungan menurut tanggungan”.
Syarat dibenarkan khiyar Aib
1.      Dapat dibuktikan kecacatan tersebut sememangnya sedia ada.
Maksudnya kecacatan tersebut wujud pada barangan yang dijual sebelum diterima oleh pembeli, tidak kira sama ada kecacatan tersebut berlaku sebelum atau sesudah memeterai kontrak. Sebabnya, sebelum barangan yang dijual itu diterima oleh pembeli, barangan tersebut masih berada dalam tangunggan penjual.

Jika kecacatan tersebut berlaku selepas barangan diterima, pembeli tidak berhak menuntut khiyar. Cuma jika kecacatan ini berpunca daripada sesuatu sebab yang berlaku sebelum ia diterima oleh pembeli. Contohnya, selepas membeli suatu barangan, pembeli mendapati barangan tersebut berkarat dan apabila diteliti, didapati ia terdedah kepada air sebelum penerimaan. Dengan ini pembeli berhak memulangkan semula barangan tersebut kerana kecacatan tersebut berpunca daripada sesuatu yang berlaku ketika ia berada di tangan penjual. Samalah seperti kecacatan itu berlaku di tangan penjual.

2.      Berdasarkan amalan perniagaan, kecacatan tersebut dianggap sebagai kecacatan yang boleh menjejaskan nilai barangan .
Tidak kira sama ada kecacatan tersebut menjejaskan fizikal barangan atau pun tidak. Ini kerana, jual beli adalah suatu system pertukaran dan perkara yang diambil kira dalam jual beli ialah nilai barangan. Cara untuk mengukur nilai ini pula melalui pengalaman para peniaga yang berkemahiran.
Jika kecacatan tersebut hanya menjejaskan fizikal tanpa menjejaskan nilainya, pembeli tidak berhak memulangkannya semula. Kecuali jika kecacatan tersebut menjejaskan tujuan pembeli membelinya. Contohnya seorang pembeli membeli seekor kambing untuk tujuan korban kemudian dia mendapati sebahagian telinga kambing tersebut terputus. Dengan ini pembeli berhak memulangkan semula kambing tersebut kerana ia tidak  boleh digunakan untuk tujuan korban. Tetapi jika tujuan kambing tersebut dibeli bukan kerana korban yang diwajibkan, contohnya hanya untuk mendapatkan dagingnya, kecacatan itu tidak diambil kira dan pembeli tidak berhak memulangkannya semula.ini kerana nilai kambing tersebut tidak terjejas akibat kecacatan tersebut. Di samping itu, kecacatan fizikal kambing tersebut juga tidak menjejaskan tujuan pembeliannya.


3.      Pada kebiasaannya, kecacatan tersebut tidak wujud.
Contohnya, seorang pembeli membeli sebuah kereta baru daripada wakil pengedar kemudian mendapati tayar kereta tersebut botak. Pembeli berhak memulangkan semula kereta tersebut dan membatalkan jual beli kerana kecacatan tersebut. Lain pula jika dia membeli kereta terpakai dan kemudiannya mendapati tayarnya botak, pembeli tidak berhak menuntut khiyar aib kerana barangan terpakai biasanya mempunyai kecacatan sedemikian.


PEMBENTANG :
HUSNI NABILAH BT DZULKEFLI
08BI01058 (SMSU B)