Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khiyar Syarat Dan Khiyar Aib .. (ms 24- 26)

KHIYAR SYARAT
Khiyar syarat berlaku apabila salah satu pihak atau kedua-dua pihak menetapkan syarat dia mempunyai hak khiyar iaitu hak untuk membatalkan kontrak dalam tempoh tertentu. Syarat ini boleh dinyatakan ketika memeterai kontrak ataupun selepas daripada itu, tetapi mestilah sebelum mereka berpisah dari majlis tersebut. Khiyar ini dinamakan khiyar syarat kerana pihak yang terlibat melibatkan syarat tertentu.
Khiyar ini perlu memenuhi beberapa syarat berikut :
1.      Mestilah terhad kepada tempoh tertentu
Jika mereka berkata : saya berhak menuntut khiyar, tanpa dihadkan pada tempoh tertentu, khiyar tersebut tidak sah.
2.      Tempoh yang ditetapkan tidak boleh melebihi tiga hari jika barangan tersebut tidak mudah rosak dalam tempoh tersebut
Biasanya, masa untuk berfikir tidak perlu melebihi tempoh tersebut. Jual beli tersebut dianggap terbatal jika melebihi tempoh tersebut walaupun sesaat. Begitu juga jual beli akan terbatal, jika barangan tersebut akan rosak dalam tempoh yang ditetapkan walaupun tempoh tersebut tidak sampai tiga hari.
3.      Tempoh mestilah berturutan dan bersambung dengan kontrak
Jika disyaratkan khiyar tersebut bermula selepasmereka berpisah atau ditetapkan pada hari-hari tertentu yang tidak berturutan atau tempoh khiyar tidak bermula sebaik sahaja kontrak dimeterai, jual beli tersebut tidak sah dan kontrak tersebut terbatal. Sebabnya mereka meletakkan syarat yang tidak sesuai dan tidak diterima oleh syarak.


Hadis Hibban bi Munqiz r.a :
Suatu ketika dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia telah ditipu ketika jual beli. Lantas Nabi s.a.w. bersabda kepadanya : “jika engkau berjual beli katakanlah: Tidak boleh ada penipuan.”
Dalam riwayat lain disebut :
Saya berhak menuntut khiyar dalam tempoh tiga hari.
Bilakah hak khiyar dibatalkan?
Apabila pihak yang mempunyai hak khiyar memilih untuk membatalkan kontrak, maka kontrak tersebut dianggap batal. Contohnya, apabila dia berkata : saya batalkan jual beli ini. Atau pun apabila hak khiyar berada di tangan pihak penjual dan dia berkata: saya menarik balik barangan yang saya jual ini. Atau pun pihak pembeli berkata : saya menarik balik bayaran ini. Atau pun apa sahaja tindakan yang seumpama itu.
Jika sesuatu kontrak jual beli dianggap terlaksana jika hak khiyar terbatal, hak khiyar syarat pula dianggap terbatal dengan sebab-sebab berikut :
1.      Tamat tempoh yang disyaratkan
Setelah tamat tempoh yang ditetapkan dan kontrak tersebut tidak dibatalkan oleh pemegang khiyar , sama ada penjual ataupun pembeli atau kedua-duanya sekali , maka kontrak tersebut dianggap terlaksana dan khiyar tersebut terbatal, tiada siapa lagi selepas itu berhak membatalkan kontrak tersebut.
2.      Jual beli tersebut diteruskan dan dipersetujui dalam tempoh khiyar
Contohnya  : pemegang hak khiyar berkata : saya setuju dengan kontrak ini, atau pun saya bersetuju untuk meneruskan atau memilih untuk menjual atau membelinya.
3.      Apabila pemegang hak khiyar melakukan sesuatu yang pada kebiasaanya hanya dilakukan oleh seorang pemilik
Perbuatan ini menunjukkan dia bersetuju meneruskan jual beli tersebut dan membatalkan hak khiyarnya. Namun ini hanya berlaku jika pemegang hak khiyar adalah pembeli. Jika tindakan tersebut lahir daripada penjual, tindakan itu menunjukkan kontrak tersebut telah dibatalkan.
Hukum barangan dalam tempoh Khiyar
1.      Hak milik barangan ( Barangan Jualan) dalam tempoh Khiyar
Jika kedua-dua pihak memegang hak khiyar, hak milik barangan tersebut dibekukan sehingga ada keputusan sama ada kontrak tesebut diteruskan atau dibatalkan. Sekiranya kontrak tersebut dibatalkan, hak milik barangan tersebut kekal sebagai hak milik penjual. Jika jual beli tersebut diteruskan, barangan tersebut menjadi hak milik pembeli bermula daripada tarikh kontrak dimeterai dan bayaran kepada barangan tersebut menjadi milik penjual.
2.      Kerosakan Barangan dalam tempoh khiyar
Jika kerosakan berlaku sebelum barangan tersebut diterima oleh pembeli, maksudnya barangan tersebut masih berada di tangan penjual, jual beli tersebut terbatal dan hak khiyar dilucutkan. Tidak kira sama ada hak khiyar dipegang oleh pembeli atau pun penjual. Sebabnya barangan tersebut tidak dapat diserahkan oleh penjual kepada pembeli. Dengan itu penjual terpaksa menanggung kerugiannya.
Jika kerosakan berlaku selepas barangan tersebut diterima oleh pembeli, maksudnya barangan tersebut tidak terbatal. Ini kerana kerosakan barangan tersebut di bawah tanggungan pembeli disebabkan barang tersebut berada di tangannya. Dalam masa yang sama khiyar masih diteruskan, tidak kira sama ada pemegang hak khiyar adalah pembeli atau penjual.



KHIYAR AIB
Pada asasnya, urusan seorang muslim dengan orang lain perlu dijalankan atas landasan saling menjaga hak dan bersih daripada segala unsur penipuan. Penipuan bererti mengambil harta orang lain dengan jalan yang tidak sah. Rasulullah s.a.w. pernah memberikan peringatan yang amat keras kepada umat Islam supaya tidak menipu. Salah satu menipu dalam perniagaan ialah penjual menyembunyikan kecacatan yang ada pada barangan yang dijual walaupun dia mengetahuinya.


Hadis Aisyah r.ha :
Sesungguhnya seorang lelaki telah membeli seorang hamba, lalu dia menggunakan khidmat hamba itu. Kemudian dia dapati pada hamba itu suatu kecacatan, lalu dia mengembalikan hamba itu kerana kecacatanya. Namun penjual berkata : “ Di manakah keuntungan hamba saya ini?” Nabi s.a.w. bersabda : “keuntungan menurut tanggungan”.
Syarat dibenarkan khiyar Aib
1.      Dapat dibuktikan kecacatan tersebut sememangnya sedia ada.
Maksudnya kecacatan tersebut wujud pada barangan yang dijual sebelum diterima oleh pembeli, tidak kira sama ada kecacatan tersebut berlaku sebelum atau sesudah memeterai kontrak. Sebabnya, sebelum barangan yang dijual itu diterima oleh pembeli, barangan tersebut masih berada dalam tangunggan penjual.

Jika kecacatan tersebut berlaku selepas barangan diterima, pembeli tidak berhak menuntut khiyar. Cuma jika kecacatan ini berpunca daripada sesuatu sebab yang berlaku sebelum ia diterima oleh pembeli. Contohnya, selepas membeli suatu barangan, pembeli mendapati barangan tersebut berkarat dan apabila diteliti, didapati ia terdedah kepada air sebelum penerimaan. Dengan ini pembeli berhak memulangkan semula barangan tersebut kerana kecacatan tersebut berpunca daripada sesuatu yang berlaku ketika ia berada di tangan penjual. Samalah seperti kecacatan itu berlaku di tangan penjual.

2.      Berdasarkan amalan perniagaan, kecacatan tersebut dianggap sebagai kecacatan yang boleh menjejaskan nilai barangan .
Tidak kira sama ada kecacatan tersebut menjejaskan fizikal barangan atau pun tidak. Ini kerana, jual beli adalah suatu system pertukaran dan perkara yang diambil kira dalam jual beli ialah nilai barangan. Cara untuk mengukur nilai ini pula melalui pengalaman para peniaga yang berkemahiran.
Jika kecacatan tersebut hanya menjejaskan fizikal tanpa menjejaskan nilainya, pembeli tidak berhak memulangkannya semula. Kecuali jika kecacatan tersebut menjejaskan tujuan pembeli membelinya. Contohnya seorang pembeli membeli seekor kambing untuk tujuan korban kemudian dia mendapati sebahagian telinga kambing tersebut terputus. Dengan ini pembeli berhak memulangkan semula kambing tersebut kerana ia tidak  boleh digunakan untuk tujuan korban. Tetapi jika tujuan kambing tersebut dibeli bukan kerana korban yang diwajibkan, contohnya hanya untuk mendapatkan dagingnya, kecacatan itu tidak diambil kira dan pembeli tidak berhak memulangkannya semula.ini kerana nilai kambing tersebut tidak terjejas akibat kecacatan tersebut. Di samping itu, kecacatan fizikal kambing tersebut juga tidak menjejaskan tujuan pembeliannya.


3.      Pada kebiasaannya, kecacatan tersebut tidak wujud.
Contohnya, seorang pembeli membeli sebuah kereta baru daripada wakil pengedar kemudian mendapati tayar kereta tersebut botak. Pembeli berhak memulangkan semula kereta tersebut dan membatalkan jual beli kerana kecacatan tersebut. Lain pula jika dia membeli kereta terpakai dan kemudiannya mendapati tayarnya botak, pembeli tidak berhak menuntut khiyar aib kerana barangan terpakai biasanya mempunyai kecacatan sedemikian.


PEMBENTANG :
HUSNI NABILAH BT DZULKEFLI
08BI01058 (SMSU B)

1 comments:

Assalamu'alaikum...
Bagaimana situasinya jika kita membeli barang atau makanan yang dijual secara longgok. Amalan ini biasa berlaku di pasar. Apa pandangan Islam terhadap amalan ini.Adakah ia boleh dimasukkan ke dalam khiyar aib?

 

Post a Comment