Fiqh Muamalat

Tiada yang lebih berharga dari hari ini.. Hari yang masih kita miliki untuk kita hiasi dengan amal penyelamat diri, dari azab neraka yang tidak terperi juga untuk syurga dan keredhaan Ilahi.. Ringankanlah bebanmu untuk hari ini, untuk kau galas segala kemuliaan diri.. Juga untuk jiwamu tabah menongkah ombak kehidupan setinggi langit ~

welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Barangan Berunsur Riba (ms 39 - 41)


Riba berlaku apabila membabitkan enam barangan berikut iaitu:
1.      Emas                                                          4. Barli
2.      Perak                                                         5. Tamar
3.      Gandum                                                     6. Garam

Semua barangan ini ada dinyatakan dengan jelas oleh nas.
Al-Bukhari, Muslim dan yang lain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ رِباً إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ "وفي رواية: "الوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إِلاَّ هَاءَ وَهَاءَ" (البخاري في البيوع، باب: ما يذكر في بيع الطعام والحكرة، رقم: ٢٠٢٧ ومسلم في المساقاة، باب: الصرف وبيع الذهب بالورق نقداً، رقم: ١٥٨٦).
          [هاء وهاء: اسم فعل بمعنى خذ، والمراد: أن يعطي كل من المتعاقدين ما في يده من العوض، ويحصل التقايض في المجلس. البر: الحنطة. الورق: الفضة. والحكرة: حبس السلع عن البيع، كالاحتكار ].
“Emas dan emas adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, gandum dengan gandum adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil, barli dengan barli adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil dan tamar  dengan tamar adalah riba kecuali dengan ambil dengan ambil.”
            Terdapat banyak nas iaitu dalam hadis-hadis yang akan diperkatakan selepas ini yang menyebut barangan-barangan ini dan juga garam sebagai barangan berunsur riba.
            Selain enam barangan tersebut, unsur riba juga turut wujud dalam barangan-barangan lain. Ini kerana, hukum yang ditetapkan pada barangan yang disenaraikan tadi sebenarnya berpandukan kepada sebab (illah) tertentu. Dengan itu, barangan lain perlu dipadankan dengan sebab (illah) yang diterima pakai ini bagi menentukan kewujudan unsur riba.

‘ILLah Riba
            Illah merujuk kepada ciri-ciri tertentu yang menjadikan sesuatu barangan itu disenaraikan sebagai barangan berunsur riba. Jika unsur ini terdapat dalam sesuatu urusniaga, urusniaga tersebut juga dikelaskan sebagai urusniaga riba.
            Walau bagaimanapun, ciri-ciri ini tidak digariskan dengan jelas oleh hadis-hadis dalam tajuk ini. Namun demikian para ulama telah cuba menyenaraikan ciri-ciri ini berpandukan nas-nas tersebut. Menurut para fuqaha:
            Barangan yang dinyatakan dalam hadis-hadis tadi ada yang dalam bentuk mata wang seperti emas dan perak, dan ada dalam bentuk makanan manusia seperti gandum, barli, tamar dan garam. Berdasarkan kepada faktor ini, dapat disimpulkan bahawa kayu ukur yang diterima pakai bagi menentukan sesuatu barangan itu berunsur riba atau tidak ialah mata wang dan makanan, tanpa mengambil kira sukatan atau timbangannya. Seolah-olah syarak menggariskan semua barangan yang berupa mata wang atau makanan tidak boleh dijual beli dengan barangan yang sama jenis dengannya melainkan jika menurut syarat-syarat tertentu.
            Segala urusniaga yang membabitkan mata wang yang berlandaskan emas dan perak seperti mata wang yang diguna pakai hari ini dikategorikan sebagai barangan berunsur riba dan segala urusan dengannya boleh membabitkan riba sama seperti emas dan perak.
            Demikian juga dengan segala makanan yang biasanya dimakan oleh manusia juga dikategorikan sebagai barangan berunsur riba dan segala urusan dengannya boleh membabitkan riba. Sama ada makanan tersebut adalah makanan utama seperti nasi dan jagung yang dipadankan dengan gandum dan barli, atau pun buah-buahan seperti kismis, buah tin dan sebagainya yang dipadankan dengan tamar, atau pun sebagai makanan perisa atau untuk keperluan makanan dan badan seperti halia dan sebagainya yang boleh dipadankan dengan garam.
            Barangan lain yang bukan dalam bentuk mata wang atau makanan manusia tidak dikategorikan sebagai barangan berunsur riba. Antaranya logam selain emas dan perak, pakaian dan sebagainya. Sementara makanan yang pada kebiasaannya menjadi makanan utama kepada bukan manusia, segala urusniaga yang membabitkannya tidak termasuk dalam urusniaga berunsur riba.
            Semua masalah di atas tidak mengambil kira kadar sukatan atau timbangan atau sebagainya.

Jenis-jenis dan Hukum Riba
Para fuqaha mengkategorikan riba kepada beberapa jenis:

1.      Riba fadl (bayaran tambahan)
Riba fadl ialah jual beli barangan berunsur riba dengan barangan yang sama dan disertakan dengan bayaran tambahan oleh salah satu pihak. Contohnya penjual menjual secupak gandum dengan pembeli membayar dua cupak gandum. Contoh lain, 100 gram emas ditukar dengan 110 gram emas, atau pun mungkin kurang daripada itu atau lebih daripada itu.
Unsur riba iaitu bayaran tambahan yang terdapat dalam urusniaga ini amat jelas dan ketara. Urusniaga seperti ini adalah haram dan tidak dibenarkan. Hukum ini berdasarkan larangan yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"لاَ تَبِيعُوا الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ إِلاَّ مثلاً بِمِثْلٍ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ. وَلَا تَبِيعُوا الْوَرِقَ بِالْوَرِقِ إِلاَّ مِثْلاً بِمِثْلٍ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ "

“Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali sama dengan sama dan jangan melebihkan yang satu atas yang lain. Jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali sama dengan sama dan jangan kamu melebihkan yang satu atas yang lain.” [Riwayat Al-Bukhari, Jual beli, Bab jual beli perak dengan perak, daripada Abu Sa’id al-Kudri r.a, no. 2068. Muslim, Musaqah, Bab riba, no. 1584]
            Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ: مِثْلاً بِمِثْلٍ يَداً بِيَدٍ، فَمَنْ زَادَ أَوْ اسْتَزَادَ فَقَدْ أَرْبَى، الآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ ".
“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, garam dengan garam, perlu sama berat dan tangan dengan tangan. Barang siapa yang menambah atau meminta tambahan dia telah melakukan riba, orang yang mengambil dan orang yang memberi adalah sama.” [Sahih Muslim, Musaqah, Bab pertukaran dan jual beli emas dengan perak secara tunai, daripada Abu Sa’id al-Khudri]
            Hadis yang hampir sama ada diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Somit r.a.


            Hukum ini tidak perlu mengambil kira mutu barangan tersebut kerana hadis Nabi s.a.w. tadi umum:
" لَا تُشِفُّوا بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ "
“Jangan melebihkan yang satu atas yang lain.”
            Hukum ini juga berpandukan hadis al-Bukhari dan Muslim, Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata:

جَاءَ بِلاَلٌ إلى النبي صلى الله عليه وسلم بِتَمْرٍ بُرْنِيّ، فَقَالَ لَهُ النبي صلى الله عليه وسلم: "مِنْ أَيْنَ هَذَا ؟ " قَالَ بِلاَلٌ رضي الله عنه: كَانَ عِنْدَنَا تمر رَدِيءٌ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ لِنُطْعَمِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم. فقال النبي صلى الله عليه وسلم عند ذلك: " أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عِيْنُ الرِّبَا لَا تَفْعَلْ "

            Bilal datang menemui Nabi s.a.w. bersama tamar burni (sejenis tamar yang bermutu tinggi(. Lalu Nabi s.a.w. bertanya: Dari mana engkau dapat tamar ini? Bilal menjawab: Pada asalnya saya mempunyai tamar yang tidak elok, lalu saya jual dua gantang tamar tadi dengan segantang (tamar yang elok) untuk saya berikan kepada Nabi s.a.w.. Lantas Nabi s.a.w. bersabda: Tidak, tidak, itulah riba, itulah riba, jangan lakukan begitu. [Al-Bukhari, Wikalah, Bab apabila wakil menjual suatu yang tidak elok dan jualannya itu ditolak, no. 2188. Muslim, Musaqah, Bab jual beli makanan yang sama dengan yang sama, no. 1594]

            Selain itu hukum ini juga tidak mengambil kira bentuk barangan tersebut. Jika penjual menjual emas yang dibentuk mengikut acuan, penjual perlu memastikan kedua-dua emas tersebut mestilah sama dari segi berat dengan emas satu lagi. Hukum ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.: Jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali yang sama dengan yang sama.” Perak di sini termasuk perak yang dibentuk dengan yang tidak dibentuk.


Oleh: Diani Farain binti Dasuki
            (10BI01038)

0 comments:

Post a Comment